Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Jerudong Park Medical Centre (JPMC) menandakan satu lagi mercu tanda dalam memacu landskap sektor penjagaan kesihatan Brunei dengan memperkenalkan kohort ketiga cendekiawan di bawah Program Biasiswa JPMC.
Selaras dengan Wawasan 2035, inisiatif berkenaan mengetengahkan dedikasi JPMC kepada memupuk bakat tempatan dan mengukuhkan lagi tenaga kerja kejururawatan negara menerusi program Sarjana Muda Sains (BSc) dalam Kejururawatan.
Se
hubungan dengan itu, hadir pada majlis yang berlangsung di Bangunan PJSC, hari ini,ialah Menteri Kesihatan juga selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Dalam kata alu-aluannya, Ketua Pegawai Kewangan JPMC, Bun Pei Ling menekankan komitmen JPMC kepada memupuk pemimpin penjagaan kesihatan masa depan Brunei dengan melabur dalam belia yang menjelmakan kecemerlangan, belas kasihan dan amalan beretika.
Beliau juga menyatakan dengan landskap penjagaan kesihatan yang terus berubah, kita juga perlu berubah dan menerusi inisiatif seperti program biasiswa serta penubuhan Kolej Sains Kesihatan JPMC (JCHS), JPMC akan terus menyumbang kepada Wawasan 2035 dengan membangunkan modal insan yang diperlukan bagi sistem penjagaan kesihatan mampan dan berkualiti tinggi.
“Kami bukan sahaja menangani jurang kemahiran, kami juga memupuk generasi baharu profesional penjagaan kesihatan yang suatu hari nanti akan memimpin, menjaga dan berkhidmat dengan cemerlang.”
Majlis berkenaan meraikan Dayang Azra Zawanah binti Azri, Dayang Hannah Batrisyia binti Azmi, Dayang Nur Hidayah @ Syafiqah binti Haji Rosli, Dayang Nur Nazimah Aqilah binti Nordin yang akan memulakan pengajian dalam Asas dalam Sijil Sains dan seterusnya BSc dalam Kejururawatan serta Dayang Nur Aiman Al-Ain binti Abdul Salim yang akan terus memulakan pengajian dalam BSc dalam Kejururawatan.
Program Biasiswa JPMC menyediakan sokongan komprehensif, meliputi bantuan kewangan penuh, latihan akademik yang ketat, pengalaman klinikal amali dan laluan kerjaya jelas di JPMC.
Sejak penubuhannya pada 2023, program berkenaan telah memperkasakan sebanyak 18 orang cendekiawan memupuk bimbingan, hubungan profesional sepanjang hayat dan komitmen bersama untuk menyampaikan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan penyayang bagi Brunei.
