Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPMC rai Hari IVF Sedunia 2024

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah menandakan Hari IVF Sedunia 2024, baru-baru ini, dengan acara khas yang dianjurkan oleh Unit Perubatan Reproduktif (RMU) yang mengetengahkan kesan transformasi persenyawaan in vitro (IVF) terhadap perubatan reproduktif dan memberikan harapan kepada pasangan yang menghadapi cabaran ketidaksuburan.

    Hadir selaku tetamu kehormat adalah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, atas kapasitinya sebagai Pengarah Eksekutif JPMC.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan, dalam ucapannya antara lain menekankan dedikasi para profesional perubatan dan penyelidik yang secara berterusan menolak sempadan kesihatan reproduktif.

    Katanya lagi, “Adalah penting untuk kita menyokong dan menggalakkan kemajuan dalam rawatan kesuburan, di samping memastikan ekuiti dan akses untuk semua.”

    Beliau seterusnya menekankan bahawa mencapai piawaian dan kualiti yang diperlukan dalam rawatan IVF dengan cekap adalah proses kompleks yang memerlukan kerjasama antara jabatan.

    Acara tersebut menekankan kepentingan penjagaan holistik bagi pasangan yang menjalani IVF, dengan menekankan keperluan untuk kesejahteraan mental dan fizikal sepanjang proses rawatan.

    Di samping itu, para pakar menegaskan bahawa penjagaan diri yang betul, gaya hidup sihat, dan pengurusan stres yang berkesan adalah faktor-faktor penting yang boleh mempengaruhi kadar kejayaan IVF, di samping umur, genetik, dan keadaan asas yang ada.

    Sambutan turut dimeriahkan dengan pameran yang menampilkan pelbagai peranan dan proses dalam RMU, memberikan pemahaman yang menyeluruh tentang perkhidmatan IVF JPMC.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah wakil dari Kementerian Kesihatan, klinik swasta, pihak pengurusan kanan dan kakitangan JPMC.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa melawat pameran yang menampilkan pelbagai peranan dan proses dalam RMU. – GAMBAR SERAHAN JPMC
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dijemput untuk memotong kek bersempena dengan Hari IVF Sedunia 2024. – GAMBAR SERAHAN JPMC

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda