Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Di Negara Brunei Darussalam, strok merupakan punca kematian keempat dengan lebih 400 kes baharu direkodkan setiap tahun.
Dari 2020 hingga 2024, BNRC mencatatkan anggaran 450 kemasukan untuk strok iskemia dan antara 103–155 kes strok hemoragik setiap tahun.
“Sebahagian besar kes adalah lelaki, dan 70 peratus pesakit diketahui menghidap hipertensi,” jelas Konsultan Pakar Bedah Saraf, JPMC, Dr Sunil Upadhyaya dalam ucapan alu-aluannya di Acara Menandakan Hari Strok Sedunia 2025 yang berlangsung di Lobi, Tingkat 2, Bangunan PJSC, hari ini.
Acara yang dianjurkan oleh Jerudong Park Medical Centre (JPMC) itu, dihadiri dan dirasmikan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Gharif.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff, profesional penjagaan kesihatan, bekas pesakit strok, kakitangan JPMC dan jemputan khas.


Acara yang mengetengahkan tema global #EveryMinuteCounts itu mengetengahkan pentingnya untuk mengenali awal simptom strok dan bertindak pantas untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kecacatan.
Dalam ucapannya, Dr Sunil Upadhyaya mengetengahkan beban strok global dan tempatan serta menyeru tindakan kolektif dalam pencegahan dan pengesanan awal.
“Di peringkat global, strok merupakan salah satu punca utama kematian dan kecacatan di man terdapat hampir 12 juta strok baharu setiap tahun di seluruh dunia, ini bermakna satu strok berlaku setiap tiga saat,” ulasnya lagi.


“Menurut Pertubuhan Strok Sedunia, seorang daripada empat orang dewasa berumur 25 tahun ke atas akan mengalami strok sepanjang hayat mereka. Strok bukan lagi sekadar penyakit warga emas, kerana 15 peratus berlaku pada mereka yang berumur 15 hingga 49 tahun.”
Pada tahun ini, BNSRC meletakkan tumpuan kepada meningkatkan kesedaran strok berdarah hipertensif menerusi program pendekatan masyarakat dan sesi pendidikan di seluruh negara.
Inisiatif itu bermatlamat untuk mengetengahkan bahaya hipertensi tidak dikawal, yang sering dirujuk sebagai pembunuh senyap, serta untuk mempromosikan pencegahan dan pengesanan awal melalui gaya hidup yang lebih sihat.
Acara itu turut menyaksikan penerangan yang diberikan oleh seorang pesakit BNSRC, dan diikuti dengan perasmian Hari Strok Sedunia 2025 oleh Dr Hajah Rafidah.
JPMC menggalakkan orang ramai untuk mengambil langkah proaktif dengan memeriksa tekanan darah secara berkala, mengekalkan gaya hidup sihat dan mengelak dari merokok. Komuniti juga digesa untuk mempromosikan kesedaran strok melalui saringan, pendidikan dan sokongan untuk mangsa yang terselamat.
Melalui inisiatif berkenaan, JPMC menegaskan semula komitmennya untuk mempromosikan kesedaran, pencegahan dan pemulihan selaras dengan misinya untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang komprehensif dan bertimbang rasa untuk komuniti.
Hari Strok Sedunia, yang disambut setiap tahun pada 29 Oktober, berfungsi sebagai peringatan bahawa setiap minit adalah penting dalam mengenali dan bertindak balas terhadap gejala strok.

