BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP), Kementerian Perhubungan melalui Jawatankuasa Perasmian dan Kenang-kenangan akan mengeluarkan Sampul Surat Rasmi Hari Pertama dan Setem Edisi Khas sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan, sebanyak dua jenis produk setem akan dikeluarkan iaitu Setem Kenang-kenangan dan Setem Edisi Khas.
Bagi Setem Kenang-kenangan, ia mengandungi lima reka bentuk setem serangkai masing-masing berharga 50 sen sekeping dengan harga $2.50 bagi satu set. Produk-produk iringan yang akan dikeluarkan bersama ialah Sampul Surat Rasmi Hari Pertama tanpa setem berharga 45 sen sekeping, Sampul Surat Rasmi Hari Pertama bersetem berharga $3.15 sekeping, Pek Kenangan mengandungi satu set setem dan satu keping Sampul Surat Rasmi Hari Pertama bersetem berharga $6.75 sekeping dan Booklet Setem mengandungi satu set setem berharga $2.90 sekeping.
Setem Kenang-kenangan akan dijual kepada orang ramai pada Hari Khamis 5 Oktober 2017 dari jam 8 pagi hingga 3 petang secara berterusan di cawangan-cawangan di Pejabat Besar Pos, Bandar Seri Begawan, Pejabat Pos Pemerosesan Surat dan Bungkusan (MPC), Pejabat Pos Gadong, Pejabat Pos Seri Kompleks, Pejabat Pos Muara, Pejabat Pos Sengkurong, Pejabat Pos Tutong, Pejabat Pos Seria dan Pejabat Pos Kuala Belait.
Sementara itu bagi Setem Edisi Khas, JPP akan mengeluarkan jumlah yang terhad sebanyak 500 unit sahaja. Produk ini mengandungi satu keping setem emas tulin (99.99 peratus) seberat 3gm yang mempunyai nombor siri 001-500; satu keping Sampul Surat Rasmi Hari Pertama Khas dilengkapi dengan empat Setem Kenang-kenangan, satu kotak khas yang diperbuat dari kayu jenis ‘Nyatoh ‘, Sijil Ketulinan (Authenticity Certificate) dan Rencana ringkas mengenai Sambutan Jubli Emas. Produk ini berharga $480 seunit dan boleh dibeli melalui dua cara iaitu membeli terus di kaunter khas atau membuat tempahan awal. Bagi orang ramai yang ingin membeli terus di kaunter, satu kaunter khas akan disediakan di ruang Kaunter Pejabat Besar Pos, Bandar Seri Begawan mulai Hari Khamis, 5 Oktober 2017. Pembelian cara ini bagaimanapun adalah tertakluk kepada stok bagi nombor siri yang dipilih. Kaunter ini akan dibuka pada hari-hari bekerja bagi satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
Manakala bagi orang ramai yang berhasrat untuk membeli secara tempahan awal, borang tempahan boleh diperoleh di semua Pejabat Pos di seluruh negara ataupun dengan memuat turun dari laman sesawang JPP www.post.gov.bn .
Borang-borang yang telah lengkap diisikan hendaklah dihantar kepada Unit Filatelik, Pejabat Besar Pos, Bandar Seri Begawan sebelum 5 Oktober 20 17 atau ruang Kaunter Pusat Memperoses Surat dan Bungkusan, Lapangan Terbang Lama, Berakas mulai 5 Oktober 2017 pada waktu-waktu pejabat dibuka bersama dengan wang pendahuluan sebanyak 50 peratus iaitu $240 bagi satu tempahan.
Tarikh dan tempat pengambilan tempahan akan dimaklumkan kepada yang berkenaan sebaik-baik sahaja pembekalan diterima. Untuk sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut orang ramai boleh menghubungi Unit Filatelik, Pejabat Besar Pos, Bandar Seri Begawan BS8611 melalui 2222191 atau e-mel brustamp@post.gov.bn.
Pengeluaran produk setem ini memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki cenderamata kenang-kenangan yang julung-julung kalinya dikeluarkan oleh jabatan ini.