Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jual, beli marjerin dianggap jenayah

    ADAKAH anda tahu bahawa membeli atau menjual marjerin adalah haram di Missouri? Ini bukan satu gurauan kerana jika dilakukan, anda mungkin bakal digelar sebagai penjenayah yang sangat dikehendaki.

    Tidak dinafikan, setiap kerja memerlukan sistem atau peraturan agar dapat direalisasikan seiring dengan apa yang direncanakan. Tanpa undang-undang, tidak akan wujud keamanan, ketenangan, keharmonian, tahap disiplin yang tinggi termasuklah keseimbangan dalam penyelenggaraan negara.

    Akan tetapi, undang-undang yang satu ini pasti akan membuatkan anda menggaru kepala. Mana tidaknya, larangan yang dikuatkuasakan begitu pelik, jarang-jarang terjadi dan kedengaran seperti tidak wajar.

    Soalnya, adakah anda percaya – marjerin, iaitu bahan asas paling popular di dunia untuk membuat kek, biskut dan juga sapuan roti ini diharamkan di Missouri? Memang benar, penggunaan marjerin di negeri itu sama ada untuk menggoreng, memasak kuih-muih bahkan hanya untuk sapuan roti juga ditegah sama sekali.

    Difahamkan, larangan tersebut bukan sesuatu yang baru. Bukti dokumentasi menunjukkan pengharaman ke atas marjerin telah lama wujud di Missouri dan kewujudannya hanya diketahui umum sejak beberapa tahun terakhir ini. Tapi, mengapa ia diharamkan dan apa motif sebenar undang-undang itu dibuat?

    Beberapa buah negeri di Amerika seperti New York, Michigan, Maine, Pennsylvania, Ohio, Wisconsin, termasuklah Missouri telah bersetuju untuk menguatkuasakan untuk mengharamkan pengeluaran marjerin. Sebahagian negara lain pula membenarkan penjualan marjerin tetapi mengharamkan penjualan marjerin kuning.

    Sejarah marjerin ternyata begitu kontroversi. Dan tentu sahaja ramai dalam kalangan kita tidak tahu bahawa bahan tersebut pernah disanggah dan diperdebatkan sekitar beberapa dekad yang lalu.

    Diskusi tentang marjerin dikatakan tercetus awal tahun 1813 lagi iaitu selepas seorang ilmuwan Perancis, Michel Eugene Chevreul, berhasil menemukan sejenis asid lemak, dipanggil ‘acide margaruite’.

    Nama itu diambil daripada perkataan Yunani ‘margarites’ bermaksud ‘bak mutiara’ – sesuai dengan sifatnya ketika mula-mula dijumpai iaitu berupa endapan berkilau seperti mutiara.

    Ketika itu, bahan dasar untuk membuat marjerin asalnya menggunakan lemak nabati atau minyak sayur-sayuran. Bagaimanapun, pemerintah Perancis telah campur tangan dan menggunakan kuasanya – mengarahkan agar bahan sihat itu digantikan dengan bahan lain yang lebih murah.

    Pada tahun 1869, seorang ahli kimia Perancis bernama Hippolyte Mege-Mouries akhirnya berjaya merealisasikan impian itu. Menerusi kajian makmal, beliau menemukan sebuah campuran baru dalam pembuatan marjerin, iaitu dari tenusu dan lemak lembu. Ia kemudian dipatenkan dan menerima pengiktirafan daripada pihak pemerintah.

    Penemuan tersebut ternyata menggembirakan pihak kerajaan. Mengapa? Pada masa itu, pemerintah dikatakan telah menggunakan pengaruh politik yang hebat dalam mengaut keuntungan dari industri tenusu. Atas sebab itulah, kerajaan bersungguh-sungguh mengarahkan nabati yang diguna sebelumnya diganti dengan bahan yang lebih murah dan tidak mudah rosak iaitu daripada lemak tepu.

    Penggunaan marjerin kuning di Missouri sama ada untuk menggoreng, memasak kuih-muih bahkan hanya untuk sapuan roti adalah ditegah sama sekali.
    Walaupun Mege-Mouries sudah tiada, penciptaan marjerin tiruan terus dipertikaikan hingga menyebabkan perang antara industri tenusu dan pengeluar marjerin. Dalam perbalahan itu, pihak-pihak tertentu secara terbuka meremehkan marjerin tiruan dan meyakinkan para penggubal undang-undang supaya mengharamkan pengeluaran marjerin.

    Pada awalnya, produk tiruan yang diberi nama ‘oleomargarine’ itu sangat susah untuk dipasarkan. Sampaikan satu ketika di mana Mege-Mouries sendiri terpaksa meminta pertolongan daripada perusahaan Belanda untuk membantunya memasarkan produk tersebut.

    Malangnya, Mege-Mouries tidak menerima layanan istimewa atas penemuannya itu. Paling sedih, pada saat kematiannya sekitar tahun 1880, beliau meninggal dunia dalam keadaan miskin dan papa kedana.

    Bahkan, perusahan membuat marjerin turut diambil alih oleh Jurgens, sebuah syarikat terkemuka dari Belanda. Sejak itu, pengusaha-pengusaha Belanda cuba melakukan inovasi dengan mewarnakan marjerin yang asalnya berwarna putih menjadi kuning serupa mentega.

    Walaupun Mege-Mouries sudah tiada, penciptaan merjerin tiruan terus dipertikaikan hingga menyebabkan perang antara industri tenusu dan pengeluar marjerin. Dalam perbalahan itu, pihak-pihak tertentu secara terbuka meremehkan marjerin tiruan dan meyakinkan para penggubal undang-undang supaya mengharamkan pengeluaran marjerin.

    Akhirnya, beberapa buah negeri di Amerika seperti New York, Michigan, Maine, Pennsylvania, Ohio, Wisconsin, termasuklah Missouri telah bersetuju untuk menguatkuasakan larangan tersebut. Sebahagian negara lain pula membenarkan penjualan marjerin tetapi mengharamkan penjualan marjerin kuning.

    Hukuman yang bakal diberikan kepada pesalah adalah cukup berat. Untuk kesalahan pertama, denda yang dikenakan adalah sebanyak AS$100. Manakala denda sebanyak AS$500 dan penjara enam bulan bakal dijatuhkan untuk kesalahan berulang.

    Sarah Alsager, seorang jurucakap dari Jabatan Pertanian tempatan melaporkan bahawa mereka tidak tahu bila kali terakhir seseorang dihukum atas kesalahan tersebut. Ini kerana, ramai yang tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya pesalah undang-undang. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda