LONDON, 30 April – Liverpool sudah terbiasa melihat ‘aset’ terbaiknya dipancing gergasi Sepanyol sejak sedekad lalu tetapi penjualan Philippe Coutinho ke Barcelona membina asas bagi pembangunan semula kelab berkenaan.
Coutinho yang bergelut untuk menyamai harga mahalnya £142 juta akan berdepan bekas kelabnya itu di Nou Camp, awal pagi Khamis ini apabila Liverpool membuat kunjungan ke Catalonia bagi aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.
Liverpool memperoleh pengajaran berharga susulan penghijrahan Xabi Alonso dan Javier Mascherano ke Real Madrid serta Barcelona apabila ia pantas memudarkan cabaran mereka ketika era Rafael Benitez.
Situasi sama berulang apabila mereka kehilangan penyerang berbisa, Luis Suarez ke Barca lima tahun lalu.
Apabila juara Sepanyol itu terdesak untuk menambah deretan pemain bintang sejurus Neymar menyertai Paris Saint-Germain pada Ogos 2017, pihak pengurus Reds bertindak pantas dengan meningkatkan harga jualan Coutinho.
Coutinho akhirnya memperoleh perpindahan yang diimpikan pada Januari tahun lalu tetapi kerja keras yang dilakukan Jurgen Klopp bagi mengembalikan gemilang juara lima kali Eropah itu sudah pun mula menampakkan hasilnya.
Klopp kemudian membawa masuk Virgil van Dijk dengan nilai £75 juta dari Southampton yang menjadikan pemain Belanda itu pertahanan termahal dunia.
Sekali pun perpindahan itu menjadi perdebatan, impak yang dibawa Van Dijk terhadap transformasi Liverpool berhasil apabila dia menjadi pertahanan pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik PFA 2019 sejak kali terakhir 14 tahun lalu.
“Sejak daripada mula saya amat teruja dengan peluang untuk kami bekerja bersama dan kini kamu adalah orangnya,” kata Klopp mengucapkan tahniah kepada tonggak pertahanannya itu. – AFP