PARIS, 5 NOV – Seorang lelaki Perancis yang kehabisan wang berjaya menampung kos perkahwinannya dengan menjual ruang iklan pada jaket sutnya kepada 26 syarikat pemula, menjadikannya seolah-olah papan iklan bergerak.
Memetik laporan Oddity Central, Dagobert Renouf, seorang jurujual dari Perancis, telah lama berhasrat mengahwini tunangnya, Anna Plynina, namun keadaan kewangannya yang tenat menyebabkan impian itu sukar direalisasikan. Malah dia hampir menjadi gelandangan. Namun, tekadnya untuk memberikan majlis perkahwinan yang diimpikan oleh kekasihnya tidak pernah pudar.
Pada Julai lalu, dia memuat naik hantaran di platform X, mengumumkan hasrat untuk membiayai perkahwinannya dengan menjadi ‘papan iklan manusia’. Mana-mana syarikat yang ingin mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka boleh membeli ruang iklan pada jaket sut yang bakal dipakainya. Hantarannya tular dan akhirnya dia berjaya mendapat 26 penaja dengan jumlah bayaran iklan mencecah AS$10,000.
“Musim panas lalu saya benar-benar kehabisan wang dan hampir kehilangan tempat tinggal, tetapi saya masih mahu berkahwin dengan isteri saya,” kata Renouf kepada majalah PEOPLE.
“Saya meminta bantuan daripada komuniti usahawan saya di media sosial dan seseorang bergurau akan memberi saya €500 (kira-kira AS$576) jika dia boleh meletakkan logonya pada sut saya. Idea itu mendapat sambutan dan ramai lagi yang mahu turut serta,” jelasnya.
“Isteri saya tidak menyukai idea itu pada mulanya, namun kemudian kami melihatnya sebagai peluang untuk melibatkan seluruh komuniti keusahawanan yang saya bina selama ini dalam hari istimewa kami,” tambahnya. “Selepas itu, kami mula melakukannya dengan serius.”
Pada 25 Oktober lalu, Dagobert mengahwini Anna dalam majlis kecil dihadiri hanya 16 tetamu, sambil mengenakan jaket sut yang dihiasi nama 26 syarikat pemula yang menjadikan impian itu kenyataan. Para tetamu menganggap idea tersebut menarik, namun Renouf mengakui dia sentiasa risau tentang keterlihatan semua logo di jaketnya.
“Membuat jaket yang cantik dengan pelbagai logo bukanlah mudah, apatah lagi dalam masa yang singkat,” katanya. “Sut itu akhirnya menelan kos sebanyak AS$5,200 daripada jumlah AS$10,000 yang saya peroleh. Tambahan pula, disebabkan status keusahawanan saya di Perancis, saya tidak dapat menolak kos tersebut daripada cukai, jadi saya masih perlu membayar cukai AS$2,500 atas pendapatan itu. Secara keseluruhan, saya mendapat sut percuma dan baki sekitar AS$2,000.”
Namun, projek pengiklanan unik itu bukan sahaja membiayai majlis perkahwinannya, malah membuka peluang pekerjaan baharu.
Seorang usahawan dalam komuniti yang sama tertarik dengan keazaman dan kecekapan Renouf menjual ruang iklan dalam masa singkat. Dia kemudian ditawarkan pekerjaan di Comp AI, sebuah syarikat pemula yang sedang pesat berkembang di New York dan ia menjadi pekerjaan impian yang tidak pernah disangka-sangka. – Agensi

