Jual tong gas ibu untuk beli dadah

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Seorang lelaki dijatuhi penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan secara tidak jujur menyalah guna satu tong gas milik ibunya sebelum menjualnya untuk membeli rokok dan dadah.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Khairul Azmi bin Suhaili, 20, yang didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 12:30 tengah malam dan 2 pagi di rumah keluarganya di RPN Kampung Panaga, Seria.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, tertuduh memutuskan untuk melakukan kesalahan itu apabila tidak menemukan sebarang rokok di dalam rumah.

Dia pergi ke rumah jirannya dan meminjam telefon bimbit untuk menghantar teks kepada seorang pembeli.

Pembeli itu kemudian datang ke rumah tertuduh sekitar jam 2 pagi, dan membeli tong gas itu dengan harga $20.

Kehilangan tong gas yang diletakkan di luar rumah disedari ahli keluarga lain apabila pulang ke rumah sekitar jam 5:15 petang. Laporan polis terus dibuat, dan siasatan polis membawa tangkapan kepada tertuduh. Dalam rekod mahkamah, tertuduh mempunyai
kesalahan lampau.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Kamal Ariffin bin Ismail.