Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Orang ramai boleh membeli sambil beramal semasa Acara Mini Thrift anjuran Green Depot yang akan diadakan di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC), Panaga, bermula esok hingga hujung minggu ini.
Acara yang diadakan dari pagi hingga petang itu akan mengetengahkan pakaian yang dijual pada harga rendah di mana semua hasil yang diperoleh daripada jualan itu akan digunakan untuk membeli barang keperluan keluarga yang kurang berkemampuan di Kuala Belait.
Acara yang disokong oleh BSRC itu, dihasratkan untuk menggalakkan aspek mengurangkan dan menggunakan semula dari 3R kerana ia membantu menangani kesan pencemaran tekstil yang semakin meningkat terhadap alam sekitar.
Pada masa yang sama, amalan berjimat cermat atau membeli barang thrift juga merupakan cara baik untuk mengurangkan jejak karbon dan mendapatkan barangan unik.
Green Depot merupakan sebuah projek di bawah Green Brunei yang bertujuan untuk menyumbang kepada visi dan objektif negara untuk beralih ke arah gaya hidup sifar sisa.