CUPERTINO, 19 DIS – Jika dua daripada jam tangan Apple terbaharu berada dalam senarai beli-belah percutian awda, jangan berlengah dengan lebih lama kerana peranti itu tidak akan tersedia untuk dibeli di Amerika Syarikat (AS) lewat minggu ini sekiranya Rumah Putih tidak campur tangan dalam pertikaian antarabangsa.
Apple merancang untuk menangguhkan jualan versi jam tangan popular Series 9 dan Ultra 2 untuk pelanggan AS dalam talian mulai petang Khamis dan di kedainya pada Ahad.
Langkah itu berpunca daripada keputusan pada Oktober oleh Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa (ITC) yang menyekat Apple Watch dengan ciri-ciri pengukuran Oksigen Darah sebagai sebahagian daripada pertikaian harta intelek dengan syarikat teknologi perubatan Masimo.
Rumah Putih mempunyai 60 hari untuk menyemak perintah ITC yang dikeluarkan pada 26 Oktober, bermakna Apple boleh terus menjual dua model yang terjejas di AS sehingga Krismas.
Tetapi syarikat Cupertino, California itu berkata dalam satu kenyataan kelmarin bahawa ia menghentikan jualan awal untuk memastikan ia mematuhi perintah ITC.
Jika larangan jualan ITC tidak dibatalkan, Apple berjanji akan ‘mengambil langkah’ menyambung semula jualan model Series 9 dan Ultra 2 di AS secepat mungkin.
Apple Watch SE, yang tidak mempunyai ciri Oksigen Darah, akan kekal dijual di AS selepas malam Krismas.
Manakala, Apple Watch yang dibeli sebelum ini dilengkapi dengan Oksigen Darah tidak terjejas oleh perintah ITC. – AP


