BEIJING – Wang Anna, 28 sering berasa sukar ketika melakukan kerja-kerja mengemas di dalam bilik tidurnya berikutan daripada jumlah koleksi buku yang terlalu banyak sehingga ada kalanya tidak muat untuk disusun di dalam rak.
Namun kini dia telah memiliki alternatif lain untuk mengurangkan koleksi bukunya itu dengan membuka kedai buku secara online yang turut memberi peluang untuk menjual dan menukar-nukar buku bersama dengan individu yang lain.
Sejak mereka laman sesawang khusus untuk menampilkan koleksi bukunya itu empat tahun lalu, Wang telah berjaya menjual lebih daripada 100 buku yang tersimpan dalam koleksinya.
“Menjual koleksi buku terpakai ini kepada pembaca lain merupakan satu cara untuk menjaga alam sekitar berbanding hanya membuangnya begitu sahaja. Malah nilai penjagaan tersebut semakin bertambah apabila ia terus dikongsikan bersama dengan ramai pembaca,” jelas Wang.
Aktiviti kitar semula terhadap buku semakin mendapat perhatian di China di mana beberapa laman sesawang tertentu dan aplikasi telefon pintar telah diwujudkan bagi memudahkan aktiviti tersebut.

Bagaimanapun adakalanya tugas untuk menyertakan maklumat mengenai sesebuah buku, menanti pelanggan dan melakukan proses penghantaran buku itu dianggap sebagai sesuatu perkara mencabar bagi Wang.
Yushu, sebuah syarikat yang turut mengusahakan perkhidmatan tersebut bersama WeChat turut berusaha untuk mengatasi masalah tersebut.
Kakitangan di Yushu sentiasa bersedia melayan para pelanggan untuk mengambil buku daripada pelanggan dari rumah secara percuma.
Buku-buku yang dikumpulkan itu dijual pada harga yang rendah atau didermakan kepada organisasi yang memerlukan.
Pengasas Yushu, Shang Xiaoshui menjelaskan bahawa pihak syarikatnya telah memperkenalkan perkhidmatan tersebut di 344 bandaraya di China.
Shang memulakan projek kitar semula buku itu sejak dia masih bergelar mahasiswa di Shanghai pada sekitar tahun 2013 dan mula mengasaskan Yushu pada Jun 2017.
Setakat ini, pihak pengurusan syarikat ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak enam juta buah buku.
Bagi Shang, perkhidmatan Yushu semakin mendapat perhatian adalah kerana meningkatnya kesedaran awam akan kepentingan penjagaan alam sekitar dan percaya bahawa berkongsi dalam amalan pembacaan buku merupakan satu amalan mulia.
Menurut Shang, seramai 400 orang pelajar Tahun 4 di Sekolah Rendah Guangqi telah mula mengamalkan budaya menderma buku sehingga mencapai jumlah 1,230 buku.
“Menerbitkan sebuah buku yang memiliki sebanyak 250 halaman memerlukan sebanyak 7.5 liter air yang hampir bersamaan dengan berat 1 kilogram kayu dan 125 gram arang batu,” jelas Shang sambil menambah bahawa kebanyakan penderma percaya bahawa aktiviti itu dapat membantu untuk melindungi alam semula jadi.
Buku-buku yang dikumpulkan akan diperiksa terlebih dahulu dan ada di antaranya turut didermakan kepada 80 perpustakaan awam di sekolah, persen-dirian dan rumah kebajikan yang ditubuhkan oleh Yushu.
“Setiap buku yang diterima itu akan dikendalikan dengan sebaiknya kerana ia secara tidak langsung boleh membantu untuk mengubah kehidupan seorang kanak-kanak,” jelas Shang.
Shang menyedari bahawa kebanyakan pelajar di Sekolah Rendah Shejie adalah datang dari keluarga yang kurang berkemampuan di Wilayah Guizhou dan sangat memerlukan bahan bacaan sebagai sumber ilmu.
Seorang guru yang pernah bertugas di sekolah itu selama dua tahun menjelaskan kepada Shang bahawa lokasi kedai buku dari wilayah itu adalah agak jauh dan harga buku yang ditawarkan juga terlalu mahal.
Tidak lama selepas itu, kakitangan Yushu telah menyumbangkan sebanyak 900 buah buku bagi meringankan beban mereka. Ternyata pelajar-pelajar tersebut memperlihatkan reaksi gembira dan turut membungkusnya dengan menggunakan kertas akhbar bagi mengelakkan daripada kesan calar.
“Perkhidmatan yang disediakan oleh Yushu adalah sangat menakjubkan kerana ia secara tidak langsung turut menambah lagi nilai pada sesebuah buku tersebut,” jelas seorang penderma bernama Mimi.
Menurut satu kajian berhubung mengenai tabiat membaca yang dijalankan oleh Akademi Akhbar dan Penerbitan China pada April 2017 menjelaskan bahawa golongan dewasa di China membaca sekurang-sekurangnya tujuh ke lapan buah buku setiap tahun.
Visi yang diterapkan oleh Shang adalah untuk membantu meningkatkan minat membaca dalam masyarakat China pada setiap tahun sekaligus turut membantu golongan yang memerlukan. – Xinhua