LONDON, 5 JAN – Industri automotif United Kingdom (UK) mencatatkan jumlah jualan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya yang tertinggi pada 2024, namun masih gagal mencapai sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan tersebut, menurut badan perdagangan industri, kelmarin.
EV menyumbang 19.6 peratus daripada jumlah kereta baharu yang dijual tahun lalu, menurut Persatuan Pengilang dan Peniaga Motor (SMMT). Angka tersebut berada di bawah sasaran kerajaan sebanyak 22 peratus bagi pengeluar kereta.
SMMT melaporkan jumlah ‘rekod tahunan’ sebanyak 382,000 kenderaan elektrik bateri yang terjual di UK pada tahun lalu.
Pada Oktober, SMMT telah memberi amaran bahawa pengeluar kereta berisiko gagal memenuhi sasaran kerajaan, yang boleh menyebabkan penalti sebanyak AS$18,625 dikenakan bagi setiap kenderaan pencemar yang dijual melebihi had.
Walau bagaimanapun, kerajaan telah memberi jaminan bahawa semua pengeluar dijangka dapat mengelak penalti pada 2024 dengan memanfaatkan mekanisme fleksibiliti yang akan mengambil kira, antara lain, pengurangan pelepasan bagi keseluruhan kenderaan yang dihasilkan.
Ketua Eksekutif SMMT, Mike Hawes, berkata walaupun bahagian pasaran kenderaan elektrik meningkat, pencapaian tersebut dicapai dengan kos yang ‘sangat besar’ kepada industri.
Dia merujuk kepada ‘pelaburan berbilion dalam model baharu’ yang disokong oleh insentif industri yang dianggap ‘tidak mampan’.
Hawes menggesa kerajaan untuk mengkaji semula mandat tersebut dan melakukan lebih banyak usaha bagi merangsang permintaan swasta, termasuk meningkatkan infrastruktur pengecasan.
SMMT turut memberi amaran bahawa mencapai sasaran pada 2025 akan menjadi lebih mencabar, dengan mandat dinaikkan kepada 28 peratus daripada jumlah kereta yang dijual.
Selain itu, terdapat kebimbangan mengenai janji kerajaan Buruh untuk mempercepatkan larangan penjualan kenderaan petrol dan diesel baharu kepada 2030, selepas kerajaan Konservatif sebelumnya menangguhkannya ke 2035.
Secara keseluruhan, SMMT melaporkan bahawa jumlah pendaftaran kenderaan baharu di UK meningkat hampir 2 juta unit, naik 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh pembelian perniagaan, manakala permintaan daripada pembeli swasta menunjukkan penurunan.
Walaupun pertumbuhan tahun kedua berturut-turut, pasaran automotif keseluruhan masih belum pulih sepenuhnya ke tahap sebelum pandemik. – AFP