BEIJING, 31 MAC – Syarikat teknologi gergasi China, Huawei berkata hari ini bahawa jualan telefon pintar dan produk lainnya meningkat dengan angka dua digit tahun lalu meskipun sekatan oleh AS tetapi mengingatkan ia kini berdepan dengan persekitaran global ‘yang lebih rumit’.
Huawei Technologies Ltd terlibat dalam beberapa siri perbalahan dengan Washington, yang menuduh syarikat tersebut menimbulkan risiko keselamatan. Syarikat menyangkal tuduhan tersebut, dan pegawai China berkata pentadbiran Trump menyalahgunakan dakwaan keselamatan negara untuk menyekat pesaing daripada syarikat teknologi AS.
Huawei adalah jenama teknologi global China pertama dan syarikat swasta yang paling berjaya. Konflik dengan Washington telah menambah ketegangan berhubung cita-cita teknologi Beijing dan lebihan dagangan yang mendorong Presiden Trump melancarkan perang tarif dengan China pada tahun 2018.
Jualan tahun lalu meningkat 19.1 peratus berbandingtahun 2018 kepada 858.8 bilion yuan, sejajar dengan kenaikan 19.5 peratus pada tahun sebelumnya, lapor syarikat. Keuntungan meningkat 5.6 peratus kepada 62.7 bilion yuan, merosot daripada kenaikan 25 peratus pada 2018.
Perniagaan ‘kekal kukuh’ meskipun ‘tekanan luar biasa ‘ kata Eric Xu, salah seorang dari pada tiga orang yang bergilir-gilir menjadi pengerusi Huawei, dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Xu mengingatkan, ‘persekitaran luar hanya akan menjadi semakin rumit menuju ke hadapan’.
Sekatan yang diluluskan oleh Presiden Donald Trump pada Mei, jika dikuatkuasakan sepenuhnya, akan memutuskan akses kepada kebanyakan kompenen dan teknologi AS. Washington telah meluluskan pelanjutan untuk beberapa produk, tetapi pengasas Huawei Ren Zhengfei berkata beliau menjangkakan sekatan dikuatkuasakan.
Syarikat itu, jenama telefon pintar nombor 2 di dunia di belakang Samsung, berkata jualan telefon bimbit 2019 meningkat 15 peratus kepada 240 juta.
Telefon Huawei boleh terus menggunakan sistem operasi Android Google tetapi menghadapi cabaran jualan kerana syarikat AS disekat daripada membekalkan muzik dan perkhidmatan popular lain untuk model masa depan.
Huawei sedang mencipta perkhidmatannya sendiri untuk menggantikan Google dan berkata sistemnya mempunyai 400 juta pengguna aktif di 170 buah negara menjelang akhir 2019. – AP