Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Acara yang amat dinanti-nantikan bagi mereka yang gemar untuk membeli-belah, kempen Jualan Hujung Tahun Malaysia 2024 (MYES 2024), kembali lagi bermula dari 15 November hingga 1 Januari 2025.
Tourism Malaysia menyatakan kempen berkenaan melibatkan kolaborasi dengan lebih daripada 60 buah pusat beli-belah dan rakan kongsi pelancongan dengan keseluruhan 129 aktiviti menarik dan promosi menanti pelancong-pelancong yang berkunjung ke Malaysia.
Sehubungan dengan itu, pelancaran Kempen Jualan Hujung Tahun Malaysia-Edisi Brunei berlangsung di Pejabat Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan bersama dan menyaksikan pelancaran berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Negara Brunei Darussalam yang dilantik, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan; Pengarah Urusan Straits Central Agencies, Haji Musa bin Haji Adnin; Ketua Perniagaan Kad Bank Baiduri, Davern Lim dan Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam, Puan Hazrina Azman.
Puan Hazrina menyatakan bahawa promosi Jualan Hujung Tahun Malaysia akan dipergiatkan melalui media massa dan tawaran diskaun pakej-pakej penginapan hotel Cuti-Cuti Malaysia dengan kolaborasi bersama syarikat Straits Central Agency.
Beliau menyatakan lagi bahawa Tourism Malaysia menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong dari Negara Brunei Darussalam untuk melawat Malaysia semasa kempen untuk menikmati MY Priceless Experience selaras dengan slogan kempen jualan kebangsaan.
Puan Hazrina menambah inisiatif itu dijangka akan mempunyai impak signifikan kepada ketibaan pelancong Brunei ke Malaysia. Dari Januari hingga September 2024, jelasnya, Malaysia telah mencatatkan jumlah keseluruhan 863,467 orang pelancong dari Brunei dengan peningkatan sebanyak 50.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023, menjadikannya salah satu daripada 10 pasaran teratas bagi ketibaan pelancong ke Malaysia.
Kempen Jualan Hujung Tahun Malaysia merupakan usaha untuk memudahkan dan meningkatkan pengalaman membeli-belah, hiburan, rekreasi dan riadah dalam pusat beli-belah berintegrasi dan kontemporari seluruh negara yang menyediakan lebih nilai dan keseronokan pengunjung serta menawarkan pengalaman gastronomi Timur bertemu Barat yang menyelerakan melalui hidangan pelbagai juadah lazat oleh masyarakat pelbagai budaya dari Malaysia.
Sebanyak tujuh buah pusat membeli-belah unggul juga bersedia untuk mengadakan Jualan Tengah Malam bersempena dengan Kempen Jualan Hujung Tahun Malaysia di mana ia memberikan pelancongan peluang untuk membeli-belah sehingga lewat malam.
Pusat-pusat beli-belah yang terlibat adalah Sutera Mall Johor Baru, The Exchange TRX, Mitsui Outlet Park KLIA Sepang, Freeport A’Farmosa Outlet Park, Noor Arfa Craft Complex, Aeon Mall Tebrau City dan Aeon Mall Kota Bharu.