STOCKHOLM, 16 OKT – Gergasi perabot Sweden, Ikea melaporkan penurunan satu peratus dalam jualannya bagi tahun fiskal 2024-2025 hari ini, disebabkan potongan harga serta pengguna yang berjimat cermat dalam perbelanjaan.
Jualan bagi keseluruhan tahun berakhir pada hujung Ogos menurun kepada AS$52 bilion, namun jumlah volum dan pelanggan meningkat sebanyak tiga peratus, menurut syarikat induknya, Inter Ikea.
“Kami telah memberi keutamaan kepada harga yang lebih rendah, peningkatan volum dan pertumbuhan pelanggan sepanjang dua tahun lalu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Inter Ikea, Jon Abrahamsson Ring kepada AFP.
Syarikat itu telah mengurangkan harga sebanyak 10 peratus dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sebagai usaha untuk merancakkan semula kunjungan ke kedai dalam talian dan fizikalnya.
Pada masa yang sama, “selama beberapa tahun berturut-turut, keyakinan pengguna semakin merosot,” jelas Abrahamsson Ring.

“Pada tahun lalu, keadaan menjadi stabil, namun masih berada pada tahap yang amat rendah berbanding beberapa dekad lalu,” tambahnya.
Akibatnya, pengguna kini menangguhkan keputusan untuk mengubah suai rumah atau membeli perabot baharu.
“Dan hal ini bukan hanya berlaku di satu rantau, tetapi di semua 63 pasaran kami,” katanya.
Inter Ikea merancang untuk terus menurunkan harga ‘namun pada kadar yang lebih normal, sekitar satu hingga tiga peratus setiap tahun,’ ujar Abrahamsson Ring lagi.
Beliau berkata tahun fiskal bermula dengan baik, sambil menyatakan bahawa kumpulan itu terus mencatat peningkatan dari segi volum, jumlah pelanggan, kunju-ngan dan juga hasil kewangan. – AFP

