FRANKFURT, 6 OGOS – Jualan kereta baharu di Jerman mencatat peningkatan besar pada bulan Julai, menurut data rasmi yang diumumkan kelmarin. Namun begitu, penganalisis memberi amaran agar tidak terlalu optimis terhadap pemulihan pasaran automotif utama Eropah itu.
Sebanyak 264,802 buah kereta baharu telah didaftarkan, meningkat 11.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu, menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Persekutuan Jerman (KBA).
Namun, jika dibandingkan dalam jangka masa enam bulan yang lebih stabil, pendaftaran kereta baharu merosot 2.5 peratus, mencerminkan kelembapan berterusan dalam pasaran kenderaan baharu negara itu.
“Permintaan masih lemah, pengguna dan syarikat menangguhkan pembelian disebabkan ekonomi yang lembap dan prospek yang tidak menentu,” kata Constantin M. Gall, penganalisis automotif di firma perunding EY.
“Pasaran kereta baharu masih tidak menunjukkan tanda-tanda kemajuan.”
Jualan kereta baharu pada Julai 2024 sebelum ini sangat lemah selepas pengguna bergegas membeli kenderaan pada bulan sebelumnya untuk mengelakkan harga yang lebih tinggi apabila peraturan baharu Kesatuan Eropah mengenai sistem bantuan pemandu mula berkuat kuasa.
“Kenaikan besar pada Julai ini adalah disebabkan faktor luar biasa dan bukan petanda kepada satu trend baharu,” tambah Gall. – AFP


