Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Semangat keusahawanan, kemahiran pengurusan perniagaan dan pembuatan kuih-muih golongan belia dan pengusaha tempatan diketengahkan semasa Jualan Kuih-Muih Belia ke-17 yang berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia Bandar Seri Begawan sehingga malam terakhir Ramadan.
Pelancaran Jualan Kuih-Muih Belia ke-17 yang telah bermula 28 April lalu itu disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut, hari ini.
Jualan anjuran Jabatan Belia dan Sukan, KKBS itu dikendalikan oleh Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT), Pusat Belia Bandar Seri Begawan dan Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI), cawangan Brunei yang menyaksikan kira-kira 180 jenis kuih-muih dan biskut diketengahkan.
Pada majlis berkenaan, Dayang Saidah menyempurnakan perasmian jualan berkenaan dan seterusnya mengadakan lawatan serta diberikan penerangan mengenai jualan daripada para peserta yang menyertai jualan berkenaan.
Jualan tahunan yang dinanti-nantikan oleh orang ramai itu sudah memasuki tahun ke-17 di mana ia terus mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan daripada bukan sahaja para pengunjung tetapi juga penyertaan golongan belia serta pengusaha untuk mencuba sendiri bidang keusahawanan dan membuat kuih-muih.
Menurutnya lagi, peserta dalam jualan itu boleh memanfaatkan kemahiran dan kebolehan yang diperoleh semasa program berkenaan untuk digunakan dalam mengurus perniagaan secara bersistematik serta pendedahan kepada dunia perniagaan yang sebenar.
Jualan kali ini menyaksikan penyertaan pengusaha-pengusaha yang mengetengahkan pelbagai produk kuih-muih dan biskut pilihan ramai semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri termasuk kuih tapak kuda, popia mini dan tart.

