BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Jualan Kuih-muih Raya Belia 2025 anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan berlangsung dari 19 hingga 27 Mac di Dewan Riadah, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
Majlis pelancaran jualan tersebut telah diadakan baru-baru ini dengan kehadiran isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Hasbi selaku tetamu kehormat.
Acara dimulakan dengan upacara pembukaan kain rentang, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Alumni Program Serantau dan Antarabangsa, Jabatan Belia dan Sukan, Awang Abdul Mujib bin Awang Sh’minan.
Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan bantuan yuran petak daripada Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu kepada vendor yang memerlukan, termasuk ibu tunggal, belia yang belum mempunyai pekerjaan serta peniaga yang dikenal pasti memerlukan bantuan.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan lawatan ke petak jualan.
Jualan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti keusahawanan sempena Ramadan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ia bertujuan memberi peluang kepada belia dan masyarakat untuk menceburi bidang keusahawanan, meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan. Selain itu, ia juga membantu mempromosikan produk tempatan.
Sebanyak 28 petak jualan disediakan, melibatkan penyertaan peniaga tempatan termasuk ahli Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Negara Brunei Darussalam serta peniaga persendirian. Pelbagai jenis kuih-muih dan barangan lain turut dijual.
