Friday, January 31, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan makanan dan minuman meningkat 12.8%

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Jualan perkhidmatan makanan dan minuman mencatatkan peningkatan tahun-ke-tahun pada suku tahun kedua (Q2) 2023 iaitu sebanyak 12.8 peratus berbanding Q2 2022 dengan hasil jualan meningkat daripada $99 juta kepada $111.7 juta.

    Dari segi volum jualan, aktiviti makanan dan minuman juga mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 8.8 peratus tahun-ke-tahun, berdasarkan Indeks Jualan Runcit (IJR) dan Indeks Perkhidmatan Makanan dan Minuman (IPM&M) Suku Tahun Kedua 2023 yang dikongsikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, peningkatan hasil jualan makanan dan minuman adalah disebabkan kenaikan bagi kesemua aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman iaitu aktiviti perkhidmatan katering sebanyak 79.6 peratus, diikuti dengan kedai makanan segera 15.5 peratus, aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan 13.8 peratus, restoran 8.7 peratus, dan aktiviti penyajian minuman 4.8 peratus.

    Bagi perbandingan secara suku tahunan, nilai dan volum jualan perkhidmatan makanan dan minuman juga telah mencatatkan peningkatan berbanding suku tahun pertama (Q1) 2023.

    Nilai jualan perkhidmatan makanan dan minuman pula telah meningkat sebanyak 3.2 peratus pada Q2 2023 yang didorong oleh peningkatan hasil jualan bagi aktiviti perkhidmatan katering sebanyak 19.9 peratus, aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan 14.9 peratus, aktiviti penyajian minuman 12.9 peratus, kedai makanan segera 2.6 peratus, dan restoran 0.2 peratus.

    Gambar Freepik

    Prestasi jualan runcit telah mencatatkan penurunan tahun-ke-tahun pada Q2 2023 iaitu sebanyak 4.9 peratus dengan hasil jualan menurun daripada $470.3 juta kepada $447.3 juta berikutan dengan kekurangan permintaan domestik.

    Penurunan hasil jualan runcit didorong terutamanya oleh penurunan jualan jam tangan dan barang kemas sebanyak 18.5 peratus, diikuti dengan jualan tekstil, pakaian dan kasut 16.5 peratus, jualan peralatan komputer dan telekomunikasi 13.7 peratus dan jualan di gedung serbaneka 7.2 peratus.

    Bagi perbandingan secara suku tahunan, nilai dan volum jualan runcit pada Q2 2023 telah mencatatkan peningkatan berbanding Q1 2023.

    Nilai jualan runcit meningkat sebanyak 3.2 peratus terutamanya didorong oleh peningkatan jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus sebanyak 10.5 peratus, diikuti dengan jualan jam tangan dan barang kemas 8.6 peratus, jualan di gedung serbaneka 4.6 peratus, jualan di stesen minyak 4.2 peratus dan jualan di pasar raya 2.3 peratus.

    IJR dan IPM&M adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.

    Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES, https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda