Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan makanan, minuman meningkat 2.3%

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Pada suku tahun kedua (Q2) 2025, jualan perkhidmatan makanan dan minuman telah mencatatkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus berbanding suku tahun kedua (Q2) 2024, dengan hasil jualan meningkat daripada $110.8 juta kepada $113.4 juta.

    Ini adalah didorong oleh peningkatan hasil jualan bagi aktiviti perkhidmatan katering sebanyak 6.7 peratus; aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan seperti medan selera dan kios makanan 4.8 peratus; kedai makanan segera 4.5 peratus; dan restoran sebanyak 1.4 peratus.

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini, mengongsikan daripada segi volum, perkhidmatan makanan dan minuman juga mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.9 peratus berbanding Q2 2024, disebabkan oleh peningkatan permintaan domestik.

    Bagi prestasi jualan runcit, nilai dan volum telah mencatatkan penurunan berbanding Q2 2024 di mana nilai jualan runcit menurun sebanyak 6.2 peratus, dengan hasil jualan menurun daripada $420.6 juta kepada $394.7 juta.

    Ini didorong oleh penurunan hasil jualan tekstil, pakaian dan kasut sebanyak 21.4 peratus, diikuti dengan jualan peralatan perabot dan rumah 14.8 peratus; jualan di gedung serbaneka 9.8 peratus; jualan perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus 6.6 peratus; dan jualan di pasar raya sebanyak 5.9 peratus.

    Manakala daripada segi volum pula, aktiviti jualan runcit juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 6.3 peratus berbanding Q2 2024, disebabkan oleh penurunan permintaan domestik.

    Indeks Jualan Runcit dan Indeks Perkhidmatan Makanan & Minuman adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.

    Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES: https://deps.mofe.gov.bn.

    Gambar hiasan Pexel

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda