Wednesday, February 5, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan Mega Brunei bermula 20 Feb

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Menjelangnya musim perayaan bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan menganjurkan Jualan Mega Brunei (JMB) 2025.

    JMB ini adalah dalam usaha mengukuhkan pasaran tempatan, yang akan berlangsung selama 53 hari bermula 20 Februari hingga 13 April, yang dihasratkan dapat merangsang aktiviti perekonomian negara dengan menggalakkan orang ramai berbelanja di dalam negara untuk bersama-sama meraikan musim perayaan ini.

    Inisiatif kebangsaan ini bertujuan untuk menggalakkan para peniaga dan pengguna bersama-sama mengukuhkan ekonomi dengan menyokong produk, perkhidmatan dan perniagaan tempatan.

    Sehubungan itu, JPES mengalu-alukan syarikat perniagaan dari pelbagai sektor untuk menyertai dan memanfaatkan platform ini untuk meningkatkan jualan melalui tawaran diskaun dan promosi yang menarik dan telus.

    Selain menyokong semangat perayaan, inisiatif ini juga mengukuhkan ekonomi tempatan dengan menggalakkan perbelanjaan domestik.

    Para pengguna juga digalakkan untuk berbelanja di dalam negara semasa tempoh perayaan ini bagi memeriahkan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidilfitri, di samping menyokong peniaga tempatan, pengguna boleh menikmati tawaran eksklusif sambil membantu membina komuniti dan ekonomi keusahawanan yang berdaya tahan.

    Kempen ini merupakan inisiatif untuk menyatukan masyarakat dan menyokong usahawan yang gigih, perniagaan kecil, dan jenama tempatan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

    Dengan memilih untuk berbelanja dalam negara, secara tidak langsung orang ramai dapat memberikan pekerjaan, merangsang perkembangan dan memupuk patriotisme.

    Peniaga yang berminat untuk menyertai JMB 2025 boleh menghadapkan Borang Makluman Jualan yang lengkap melalui e-mel sales@jpes.gov.bn bermula pada hari ini sehingga 18 Februari.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda