Saturday, January 25, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan Mega Brunei bermula 4 Mac

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan menganjurkan acara jualan murah tahunan di peringkat kebangsaan iaitu Jualan Mega Brunei (JMB) 2024 bermula dari 4 Mac hingga 23 April.

    Acara jualan murah tahunan selama 51 hari itu bertujuan untuk menggalakkan kegiatan aktiviti perusahaan tempatan dan merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negara.

    JMB 2024 menyediakan platform bagi para peniaga untuk menarik pelanggan dengan menawarkan diskaun dan promosi jualan serta menggalakkan berbelanja dalam negeri semasa musim perayaan, bersempena dengan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.

    JPES mengalu-alukan penyertaan kalangan para peniaga termasuk perusahaan tempatan daripada pelbagai sektor seperti gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai perabot, kedai buku serta sukan dan sebagainya, untuk memanfaatkan peluang bagi menawarkan diskaun dan promosi yang menarik serta harga yang kompetitif bagi barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di pasaran.

    Senarai para peserta JMB 2024 akan dimasukkan di dalam ciri ‘Jualan dan Diskaun’ dalam aplikasi mudah alih PenggunaBijak untuk memberikan publisiti kepada peserta dan membantu pengguna untuk berkunjung ke premis-premis perniagaan berkenaan.

    Gambar Freepik

    Di kesempatan ini, JPES mengingatkan peserta JMB 2024 untuk sentiasa menjalankan perniagaan dan acara jualan murah secara beretika dengan mematuhi Peraturan-peraturan Acara Jualan Murah, Akta Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), Penggal 261 dan Perintah Paparan Tanda Harga.

    Ini termasuk mempamerkan tanda harga, diskaun serta terma dan syarat dengan jelas dan betul bagi membantu pengguna untuk membuat pilihan pembelian yang bermaklumat.

    Notis Acara Harga Jualan Murah yang dikeluarkan oleh JPES hendaklah dipamerkan dengan terang dan jelas di setiap premis perniagaan masing-masing.

    Borang makluman untuk menyertai acara JMB 2024 boleh dimuat turun dari aplikasi mudah alih PenggunaBijak, laman sesawang JPES, www.deps.mofe.gov.bn/cad dan melalui kaunter semasa hari dan waktu bekerja.

    Borang makluman yang lengkap boleh dihadapkan bermula hari ini sehingga 2 Mac melalui e-mel sales@jpes.gov.bn atau dihantar terus ke kaunter beralamat Jabatan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Bilik 2A3:06, Aras 3, West Wing, Blok 2A, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan BA1131.

    Sebarang pertanyaan mengenai JMB 2024 boleh disalurkan melalui e-mel sales@jpes.gov.bn atau hubungi talian 223 0241 semasa waktu pejabat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda