ZURICH, 25 APRIL – Kumpulan syarikat makanan Switzerland, Nestle hari ini melaporkan jualan yang lebih baik daripada jangkaan dalam tiga bulan pertama tahun ini, didorong oleh kenaikan harga untuk mengimbangi inflasi dan permintaan untuk produk rujinya.
Nestle, yang membuat kapsul Nespresso, bouillon Maggi, bar coklat KitKat dan makanan haiwan peliharaan Purina, melaporkan peningkatan jualan sebanyak 5.6 peratus iaitu sebanyak 23.9 bilion euro.
Jualan organik, tidak termasuk perubahan nilai mata wang atau atau pengambilalihan, meningkat 9.3 peratus, lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis sebanyak 7.3 peratus.
Makanan haiwan peliharaan kumpulan itu merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan organik, kata Nestle, di samping pertumbuhan dua angka dalam produk manisan termasuk coklat KitKat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Mark Schneider berkata kumpulan itu telah “Mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada suku pertama, kerana pasukan kami bekerja dengan gigih untuk melindungi volum dan memastikan keupayaan untuk berdaya tahan.”
Nestle menyasarkan peningkatan jualan setahun penuh antara enam dan lapan peratus.
Jean-Philippe Bertschy, seorang penganalisis di pengurus pelaburan Vontobel, berkata laporan suku tahunan sekali lagi menunjukkan kuasa harga yang kukuh Nestle dan daya tarikan jenamanya.
Kumpulan itu juga berkata ia menubuhkan usaha sama untuk perniagaan piza bekunya di Eropah dengan firma ekuiti swasta, PAI Partners, tertakluk kepada kelulusan pengawal selia. – AFP
