Jualan Novartis meningkat AS$13 bilion

ZURICH, 21 JULAI – Syarikat farmaseutikal Swiss Novartis berkata hari ini jualan suku keduanya meningkat sebanyak sembilan peratus, dirangsang sebahagiannya oleh pelanggan yang menambah bekalan selepas kehabisan stok semasa sekatan pandemik pada tahun lalu.

Keuntungan bersih meningkat 49 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada AS$2.9 bilion, yang dikatakan syarikat disebabkan bayaran kewangan yang lebih rendah.

Jualan bersih mencecah AS$13 bilion dalam suku dari Mac hingga Jun, naik sebanyak sembilan peratus.

Pertambahan dalam jumlah menandakan peningkatan jualan sebanyak 13 peratus, namun harga berkurangan dan persaingan meningkat daripada ubat generik mengurangkan angka ini kepada sembilan peratus.

Daripada jumlah itu, Novartis menganggarkan angka empat peratus adalah daripada pelanggan yang menambah bekalan selepas mengurangkan tempahan pada tahun lalu pada kemuncak pandemik.

Sementara syarikat farmaseutikal mungkin dijangka menerima faedah daripada pandemik, syarikat seperti Novartis melihat jualan merosot pada tahun lalu.

Syarikat itu berkata kunjungan doktor, pembedahan dan rawatan kanser merosot apabila orang mengelak hospital semasa gelombang pertama pandemik justeru menjejaskan jualan ubat.

Novartis berkata secara perbandingan jualan hampir kembali kepada tahap sebelum pandemik. Saham dalam Novartis meningkat sebanyak 1.9 peratus dalam perniagaan pagi, prestasi terbaik dalam Indeks Pasaran Swiss, yang meningkat 0.7 peratus pada keseluruhannya. – AFP

Gambar fail menunjukkan bangunan Novartis yang mengatakan kelmarin jualan suku keduanya meningkat sembilan peratus. – AFP