Khamis, November 20, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan perkhidmatan bantu Apple atasi jangkaan pendapatan

    SAN FRANCISCO, 2 NOV – Apple pada Khamis lalu melaporkan keuntungan sebanyak AS$27.5 bilion bagi suku yang baru berakhir, didorong oleh jualan iPhone dan segmen perkhidmatannya. Pendapatan keseluruhan syarikat mencecah AS$102.5 bilion, mengatasi jangkaan pasaran meskipun berlaku sedikit penyusutan hasil di China berbanding tempoh sama tahun lalu.
     
    “Apple berbangga melaporkan rekod pendapatan bagi suku September,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook, dalam satu kenyataan.
     
    Saham Apple meningkat lebih 4 peratus dalam dagangan selepas waktu penutupan berikutan pengumuman keputusan kewangan itu.
     
    Jualan keseluruhan iPhone, teras utama perniagaan Apple, sedikit tersasar daripada jangkaan pasaran apabila mencatat hasil AS$49 bilion, masih meningkat berbanding suku sama tahun lalu.
     
    Segmen perkhidmatan Apple, yang merangkumi jualan kandungan digital dan langganan kepada pengguna peranti syarikat itu, menjana AS$28.8 bilion, meningkat kira-kira AS$3 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
     
    “Keputusan ini menutup satu tahun luar biasa bagi Apple, di mana kami mencapai rekod pendapatan tertinggi sepanjang masa sebanyak AS$416 bilion untuk tahun fiskal,” kata Cook. “Kami mencatat rekod pendapatan tertinggi untuk iPhone, dan dalam segmen perkhidmatan, kami mencatat rekod di setiap wilayah.” – AFP
     
    Pelanggan membeli telefon siri iPhone 17 di gedung utama Apple di Hangzhou, Wilayah Zhejiang, China, pada 30 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda