Tuesday, January 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan perkhidmatan makanan, minuman meningkat Q3 2024

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Pada suku tahun ketiga (Q3) 2024, jualan perkhidmatan makanan dan minuman telah mencatatkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding suku tahun kedua (Q2) 2024.

    Itu didorong oleh peningkatan hasil jualan bagi perkhidmatan katering sebanyak 8.6 peratus dan restoran sebanyak 3.4 peratus.

    Jabatan Perancang Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini mengongsikan, perbandingan secara tahunan, nilai jualan perkhidmatan makanan dan minuman telah menurun sebanyak 2.4 peratus berbanding Q3 2023, dengan hasil jualan menurun daripada $114.9 juta kepada $112.2 juta.

    Manakala dari segi volum pula, jualan perkhidmatan makanan dan minuman juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 3.1 peratus berbanding Q3 2023, yang menunjukkan penurunan permintaan domestik.

    Penurunan hasil jualan makanan dan minuman adalah disebabkan oleh penurunan hasil jualan bagi kedai makanan segera sebanyak 11.2 peratus; aktiviti penyajian minuman sebanyak 8.3 peratus; lain-lain perkhidmatan makanan sebanyak 6.4 peratus; dan restoran sebanyak 0.6 peratus.

    Gambar Envato

    Sementara bagi prestasi jualan runcit telah mencatatkan penurunan sebanyak 5.6 peratus berbanding Q3 2023, dengan hasil jualan menurun daripada $415.9 juta kepada $392.4 juta.

    Dari segi volum jualan, aktiviti jualan runcit juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 5.1 peratus berbanding Q3 2023, yang menunjukkan penurunan permintaan domestik.

    Penurunan hasil jualan runcit adalah didorong terutamanya oleh penurunan jualan peralatan komputer dan telekomunikasi sebanyak 20.4 peratus.

    Ini diikuti dengan jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus sebanyak 11.5 peratus; jualan di gedung serbaneka sebanyak 4.7 peratus; jualan di pasa raya sebanyak 4.2 peratus; dan jualan di stesen minyak sebanyak 3.9 peratus.

    JPES turut menyatakan, berbanding dengan Q2 2024 di mana nilai jualan runcit telah menurun sebanyak 6.3 peratus dan itu didorong oleh penurunan jualan tekstil, pakaian dan kasut sebanyak 25.9 peratus.

    Ia diikuti dengan jualan jam tangan dan barang kemas sebanyak 18.5 peratus; jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus sebanyak 12.7 peratus; jualan di gedung serbaneka sebanyak 10.2 peratus; dan jualan peralatan komputer dan telekomunikasi sebanyak 7.1 peratus.

    Indeks Jualan Runcit dan Indeks Perkhidmatan Makanan & Minuman adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.

    Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda