Friday, March 21, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan perkhidmatan makanan, minuman Q4 2024 meningkat

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Pada suku tahun keempat (Q4) 2024, jualan perkhidmatan makanan dan minuman telah mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus berbanding Q4 2023, dengan hasil jualan meningkat daripada $113.1 juta kepada $114.4 juta.

    Dari segi volum, perkhidmatan makanan dan minuman juga mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.5 peratus berbanding Q4 2023, yang menunjukkan peningkatan permintaan domestik.

    Peningkatan hasil jualan perkhidmatan makanan dan minuman adalah didorong oleh peningkatan hasil jualan bagi perkhidmatan katering sebanyak 15.8 peratus; lain-lain perkhidmatan makanan sebanyak 4.5 peratus; dan kedai makanan segera sebanyak 3.7 peratus.

    Manakala perbandingan secara suku tahunan, nilai jualan perkhidmatan makanan dan minuman juga telah meningkat dua peratus berbanding Q3 2024.

    Ini didorong oleh peningkatan hasil jualan bagi lain-lain perkhidmatan makanan 9.9 peratus; kedai makanan segera 6.9 peratus; perkhidmatan katering 5.4 peratus; dan aktiviti penyajian minuman 1.4 peratus.

    Rajah indeks perkhidmatan makanan dan minuman bagi Q4 2024 menunjukkan peningkatan hasil jualan. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PERANCANGAN EKONOMI DAN STATISTIK

    Bagi keseluruhan tahun 2024 pula, jualan perkhidmatan makanan dan minuman telah mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus berbanding tahun 2023, dengan hasil jualan menurun daripada $468.5 juta kepada $466.2 juta.

    Sementara dari segi volum, perkhidmatan makanan dan minuman juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 1.2 peratus berbanding tahun 2023.

    Penurunan hasil jualan perkhidmatan makanan dan minuman adalah didorong oleh penurunan hasil jualan bagi kedai makanan segera sebanyak 3.7 peratus; dan restoran sebanyak 1.4 peratus.

    Bagi prestasi jualan runcit, ianya telah mencatatkan penurunan sebanyak 5.6 peratus berbanding Q4 2023, dengan hasil jualan menurun daripada $444.2 juta kepada $419.5 juta.

    Dari segi volum jualan, aktiviti jualan runcit juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 5.4 peratus berbanding Q4 2023, yang menunjukkan penurunan permintaan domestik, dan penurunan hasil jualan runcit adalah didorong terutamanya oleh penurunan hasil jualan perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus sebanyak 31.6 peratus, diikuti dengan jualan di kedai runcit 13.8 peratus; jualan peralatan komputer dan telekomunikasi 8.6 peratus; dan jualan di pasar raya 3.8 peratus.

    Berbanding dengan Q3 2024, nilai jualan runcit telah meningkat sebanyak 6.8 peratus, didorong terutamanya oleh peningkatan hasil jualan peralatan komputer dan telekomunikasi sebanyak 46.9 peratus.

    Ini diikuti dengan jualan tekstil, pakaian dan kasut 30.3 peratus; jualan jam tangan dan barang kemas 24.8 peratus; dan jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus sebanyak 20.2 peratus.

    Bagi prestasi jualan runcit, secara keseluruhan tahun 2024, ianya telah mencatatkan penurunan sebanyak 3.5 peratus berbanding tahun 2023, dengan hasil jualan menurun daripada $1,740.9 juta kepada $1,679.7 juta.

    Dari segi volum jualan, aktiviti jualan runcit juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 2.6 peratus berbanding tahun 2023.

    Penurunan hasil jualan runcit adalah didorong terutamanya oleh penurunan hasil jualan barangan farmaseutikal dan perubatan, kosmetik dan barang mandian di kedai khusus sebanyak 16 peratus.

    Ini diikuti dengan jualan perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus 10 peratus; jualan peralatan komputer dan telekomunikasi 8.8 peratus; dan jualan di gedung serbaneka sebanyak 2.8 peratus.

    Indeks Jualan Runcit dan Indeks Perkhidmatan Makanan & Minuman adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.

    Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) https://deps.mofe.gov.bn.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda