Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan Porsche meningkat

    STUTTGART, 29 OKT – Porsche telah mencatatkan tiga suku pertama (Januari hingga September) 2021 yang kukuh dengan penghantaran 217,198 buah kenderaan ke seluruh dunia, yang merupakan peningkatan 13 peratus bagi pengeluar kereta sport berkenaan.

    Permintaan meningkat di seluruh rantau jualan, dengan Amerika Syarikat (AS) sekali lagi mencatatkan pertumbuhan yang paling kukuh, menurut kenyataan Porsche yang dikongsikan Porsche Brunei.

    Ahli Lembaga Eksekutif bagi Jualan dan Pemasaran di Porsche AG, Detlev von Platen dipetik berkata, permintaan yang sangat tinggi bagi kereta sport berkenaan berterusan sehingga suku ketiga dan mereka gembira kerana dapat membekalkan banyak kereta kepada pelanggan dalam sembilan bulan pertama tahun ini.

    Kenyataan menyatakan, Porsche Cayenne kekal sebagai model paling berjaya, dengan 62,451 penghantaran, diikuti Macan sebanyak 61,944 unit, peningkatan 12 peratus.

    Taycan elektrik sepenuhnya juga sangat popular dengan sebanyak 28,640 penghantaran kepada pelanggan. Setelah dua tahun dalam pasaran, model berkenaan setanding kereta
    sport 911 yang ikonik dengan 27,972 penghantaran dalam tempoh ini, peningkatan sebanyak 10 peratus.

    Tiga suku pertama tahun ini menyaksikan Porsche mencatat prestasi yang sangat memberangsangkan. – Gambar serahan Porsche

    Sementara itu, 718 Boxster dan 718 Cayman dibeli oleh seramai 15,916 pelanggan, mencatatkan peningkatan 1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Penghantaran untuk Panamera juga kekal kukuh seperti tahun lalu dengan 20,275, peningkatan 1 peratus.

    Menurut kenyataan itu lagi, secara keseluruhannya, jualan di rantau Asia Pasifik, Afrika dan Timur Tengah meningkat sebanyak 12 peratus dengan 97,841 kereta Porsche dihantar kepada pelanggan di rantau-rantau berkenaan.

    Peningkatan terbesar telah dilihat di AS, di mana sebanyak 51,615 kenderaan telah dihantar iaitu peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Di seluruh benua Amerika, Porsche membuat sejumlah 63,025 penghantaran, 29 peratus lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu. Manakala itu, China yang merupakan pasaran tunggal terbesar, mencatatkan 69,789 penghantaran, meningkat 11 peratus.

    Kereta-kereta Porsche juga popular di Eropah dengan 56,332 penghantaran, meningkat 2 peratus sementara itu, di Jerman, permintaan meningkat sebanyak 9 peratus antara Januari dan September dengan 19,099 unit dihantar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda