KUALA LUMPUR – Almari yang semakin sarat dengan pakaian terpakai sering menimbulkan dilema, kerana hendak dibuang terasa sayang tetapi kalau disimpan hanya menambah sesak di pandangan mata.
Situasi itu turut dialami oleh pempengaruh Azfar Heri yang kemudiannya mendapat idea untuk menjual pakaian terpakai miliknya pada harga berpatutan menerusi acara Pre-Loved with Besties (PWB) Vol 2 baru-baru ini.
Tidak bersendirian, pencipta kandungan yang mempunyai 1.3 juta pengikut di TikTok itu turut melibatkan lebih 20 rakan pempengaruh dan selebriti yang terkenal dengan fesyen dan gaya tersendiri antaranya termasuk Johanis, Sharifah Rose dan Shalma Ainaa, untuk menjayakan inisiatif tersebut.
“Kita semua memang banyak baju dan banyak yang dah tidak dipakai, tetapi semuanya elok lagi. Jadi, saya fikir macam rugi kalau kita simpan sahaja. Saya rasa setiap baju atau pakaian (terpakai) deserves second life,” katanya kepada Bernama.
Anak kelahiran Melaka itu berkata acara tersebut tidak bermatlamatkan keuntungan kerana kebanyakan pakaian seperti jaket, seluar serta beg tangan berjenama dijual pada harga serendah RM3.
“Kita cuma hendak kosongkan almari di rumah, sebab dah terlalu banyak. Kadang-kadang kita beli dan pakai sekali dua sahaja… sayanglah kalau dibiarkan tanpa dipakai,” katanya yang menggunakan hasil jualan sebagai bayaran upah kepada pasukannya yang mengerah keringat menjayakan program tersebut.
Bagi pempengaruh fesyen dan kecantikan Sofea Shra, lambakan pakaian yang jarang dipakai di rumah menyukarkannya untuk menyusun atur, menjadi satu situasi yang boleh memberikan tekanan tanpa disedari.
“Jika di rumah terlalu banyak barang, timbul rasa tak tenang. Sayang nak dilepaskan kerana kita rasa kita ada pilihan yang banyak di masa akan datang, tetapi sebenarnya kita tak akan pakai lagi.
“Jadi, daripada simpan bertahun-tahun atau pakai sekali dalam enam bulan, baiklah beri kepada orang lain yang boleh pakai setiap hari,” katanya yang membawa pelbagai koleksi pakaian termasuk baju kurung, baju kasual, jeans dan tudung.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu juga berharap inisiatif berkenaan dapat membantu orang ramai mendapatkan pakaian berkualiti pada harga jauh lebih rendah, sekali gus menyemarakkan semangat berkongsi dalam masyarakat.
“Yang saya jual semua, semua masih dalam keadaan elok, kebanyakan pakai sekali dua sahaja, terutama tudung dan baju ke majlis-majlis tertentu. Saya beli harga ratusan ringgit tapi jual sekitar RM30 ke RM80 sahaja. Ada baju yang saya beli RM500, tapi saya jual RM100 saja,” katanya.
Anak jati Shah Alam, Selangor itu juga gembira dapat bertemu dan berinteraksi dengan pengikutnya secara bersemuka selain menghargai mereka dengan pemberian pelbagai hadiah percuma.
“Saya selalu rasa dihargai apabila ada orang datang dan beritahu ‘saya dah ikut akaun awak sejak 2020, 2021’… rasa suka sangat dapat berjumpa secara bersemuka dengan mereka,” katanya, menambah ada yang datang dari Pulau Pinang dan Brunei untuk berjumpanya.
Sementara itu Pengarah Negara Gushcloud Malaysia, Hou Yin yang merupakan penganjur acara tersebut yang menarik kira-kira 3,000 pengunjung, melihat program sedemikian dapat mengurangkan pembaziran pakaian selain memberi dimensi baharu kepada budaya ‘thrifting’ di Malaysia.
“Semua vendor yang berjualan di sini tidak perlu bayar sebarang yuran. Hasilnya juga menjadi milik mereka sepenuhnya,” katanya yang turut menyifatkan program itu sebagai platform bagi jenama untuk berhubung de-ngan audiens muda menerusi pempengaruh. – Bernama