JASIN, 26 APRIL – Pembelian dan jualan produk berasaskan industri asas tani secara dalam talian mencatat peningkatan lebih RM3 juta dalam tempoh lima minggu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata peningkatan itu termasuk pembelian dan penjualan menerusi platform ‘Agrobazaar Online’ dan ‘NekmatBiz’ di bawah kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Beliau berkata peningkatan itu juga hasil kerjasama dengan syarikat jualan dalam talian dan perkhidmatan penghantaran makanan antaranya Redbox, Lazada, Foodpanda, Bungkusit serta Karhoo.
“Menerusi platform berkenaan, ia memudahkan pengguna mendapatkan bekalan selain membantu usahawan tempatan memasarkan dan menjual produk berasaskan industri asas tani seperti tanaman, ternakan dan perikanan.
“Antara hasil tani yang mendapat permintaan tinggi dalam talian ketika PKP ialah sayur-sayuran, ikan dan buah-buahan dan ia memperlihatkan urus niaga seumpama ini semakin diterima masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan sempena Ramadan peringkat Parlimen Jasin di sini hari ini. – Bernama
