WASHINGTON, 26 JUN – Firma semikonduktor AS Micron Technology berkata semalam ia telah meneruskan beberapa jualan kepada syarikat teknologi China Huawei meskipun pengharaman yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump atas sebab-sebab keselamatan.
Komen dari Micron keluar tatkala New York Times melaporkan beberapa firma Amerika telah menemui cara melepaskan diri daripada sekatan yang dikenakan ke atas Huawei. Sanjay Mehrotra, ketua eksekutif Micron, berkata satu kajian syarikat memutuskan ‘bahawa kami boleh meneruskan penghantaran beberapa produk’ yang tidak terjejas oleh sekatan eksport.
“Kami telah memulakan penghantaran beberapa tempahan produk berkenaan kepada Huawei dalam tempoh dua minggu lalu,” kata beliau.
“Bagaimanapun, timbulnya ketidakpastian yang menyelubungi situasi Huawei dan kami tidak dapat meramalkan jumlah atau tempoh masa di mana kami boleh menghantar produk kepada Huawei.” The New York Times, memetik sumber tanpa nama, berkata pengeluar cip AS dan firma lain telah menemui cara-cara untuk meneruskan jualan, melepaskan diri daripada sekatan dengan menjual produk yang dibuat di luar AS. – AFP
