Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan runcit dan hasil industri China catat pertumbuhan lebih perlahan

    BEIJING, 15 OGOS – Jualan runcit dan pengeluaran industri China meningkat pada kadar yang lebih perlahan daripada jangkaan bulan lalu, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini, ketika ekonomi kedua terbesar dunia itu berdepan ketidaktentuan perdagangan dan kelembapan berterusan dalam perbelanjaan pengguna.

    Jualan runcit, yang menjadi penanda utama permintaan pengguna, meningkat 3.7 peratus tahun ke tahun pada Julai, menurut data yang diterbitkan oleh Biro Statistik Negara (NBS).

    Angka itu jauh di bawah unjuran pertumbuhan 4.6 peratus oleh penganalisis Bloomberg, dengan Julai menjadi bulan kedua berturut-turut mengalami pertumbuhan penggunaan merosot selepas mencatat 4.8 peratus pada Jun.

    Krisis jangka panjang dalam sektor hartanah serta kadar pengangguran belia yang tinggi telah menjejas keyakinan pengguna di China sejak beberapa tahun lalu.

    Keadaan bertambah buruk dengan ketidaktentuan yang meningkat akibat perang perdagangan yang dilancarkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

    Trump telah mengenakan tarif ke atas China dan kebanyakan rakan dagang utama lain sejak kembali memegang jawatan pada Januari, sekali gus mengancam eksport Beijing ketika negara itu semakin bergantung kepadanya untuk merangsang aktiviti ekonomi.

    Pengeluaran industri bagi Julai juga berada di bawah jangkaan, meningkat 5.7 peratus tahun ke tahun berbanding unjuran Bloomberg sebanyak 6.0 peratus. – AFP

    Orang ramai berjalan memasuki sebuah pusat membeli-belah di Beijing pada 10 Ogos 2025. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda