Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Pada suku tahun pertama (Q1) 2025, jualan runcit telah mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus berbanding suku tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh peningkatan hasil jualan tekstil, pakaian dan kasut sebanyak 32.2 peratus, diikuti dengan jualan peralatan perabot dan rumah 23.0 peratus; jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus 11.4 peratus; jualan di gedung serbaneka 10.5 peratus; dan jualan perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus sebanyak 8.3 peratus.
Bagi perbandingan secara tahunan, nilai jualan runcit telah menurun sebanyak 2.0 peratus berbanding Q1 2024, dengan hasil jualan menurun daripada $446.9 juta kepada $438.1 juta. Ini adalah terutamanya didorong oleh penurunan hasil jualan makanan dan minuman di kedai khusus sebanyak 31.9 peratus, diikuti dengan jualan di kedai runcit 15.4 peratus; jualan perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus 11.4 peratus; jualan di stesen minyak 8.0 peratus; dan jualan di pasar raya sebanyak 3.6 peratus.
Manakala, dari segi volum pula, aktiviti jualan runcit juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 2.6 peratus berbanding Q1 2024, disebabkan oleh penurunan permintaan domestik.
Bagi prestasi jualan perkhidmatan makanan dan minuman, nilai dan volum telah mencatatkan penurunan berbanding Q1 2024. Nilai jualan perkhidmatan makanan dan minuman menurun sebanyak 3.8 peratus, dengan hasil jualan menurun daripada $110.2 juta kepada $105.9 juta. Ini adalah didorong oleh penurunan hasil jualan bagi aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan seperti medan selera dan kios makanan sebanyak 7.3 peratus; aktiviti perkhidmatan katering 5.4 peratus; aktiviti penyajian minuman 5.4 peratus; restoran 3.6 peratus; dan kedai makanan segera sebanyak 1.7 peratus.
Dari segi volum pula, perkhidmatan makanan dan minuman juga mencatatkan pertumbuhan negatif sebanyak 4.3 peratus berbanding Q1 2024, disebabkan oleh penurunan permintaan domestik.
Kenyataan berkenaan telah dikeluarkan hari ini oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran media berhubung Indeks Jualan Runcit dan Indeks Perkhidmatan Makanan dan Minuman Q1 2025 di Negara Brunei Darussalam.
Berbanding dengan Q4 2024, nilai jualan perkhidmatan makanan dan minuman juga telah menurun sebanyak 7.4 peratus, didorong oleh penurunan hasil jualan bagi aktiviti lain-lain perkhidmatan makanan seperti medan selera dan kios makanan sebanyak 12.1 peratus; aktiviti perkhidmatan katering 12.1 peratus; kedai makanan segera 9.0 peratus; restoran 5.9 peratus; dan aktiviti penyajian minuman sebanyak 1.5 peratus.
Indeks Jualan Runcit dan Indeks Perkhidmatan Makanan dan Minuman adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.
Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES https://deps.mofe.gov.bn.
