NEW YORK, 27 DIS – Jualan semasa musim cuti meningkat tahun ini ketika perbelanjaan penduduk Amerika Syarikat kekal berdaya tahan semasa musim membeli-belah paling sibuk, meskipun harga segala-galanya melonjak daripada makanan hingga bayaran sewa.
Jualan semasa musim cuti melonjak 7.6 peratus, peningkatan perlahan berbanding 8.5 peratus yang dicatatkan setahun sebelumnya, apabila orang ramai mula membeli-belah selepas berjimat semasa awal pandemik, menurut Mastercard Spending Pulse, yang menjejak semua jenis pembayaran termasuk secara tunai dan kad debit.
Mastercard Spending Pulse menjangkakan pertumbuhan 7.1 peratus. Data yang dikeluarkan hari ini tidak merangkumkan industri automotif dan tidak diselaraskan untuk inflasi, yang agak berkurangan namun kekal tinggi.
Penjualan di Amerika Syarikat (AS) antara 1 November dan 24 Disember, tempoh yang sangat sibuk buat peruncit, dipacu oleh perbelanjaan di restoran dan ke atas pakaian.
Mengikut kategori, penjualan pakaian meningkat 4.4 peratus, manakala barang kemas dan elektronik merudum kira-kira 5 peratus.
Penjualan dalam talian melonjak 10.6 peratus berbanding tahun lalu dan perbelanjaan secara tunai turut meningkat 6.8 peratus.
Gedung serbaneka mencatatkan peningkatan 1 peratus berbanding 2021.
“Penjualan semasa musim percutian kali ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini,” kata Steve Sadove, bekas ketua pegawai eksekutif dan pengerusi di Saks, penasihat kanan bagi Mastercard.
“Peruncit menawarkan potongan harga, namun pelanggan membahagikan perbelanjaan cuti mereka untuk menampung peningkatan harga dan untuk merasai pengalaman dan berkumpul semasa pasca pandemik.” – AP
