GUA MUSANG, 18 MEI – Rezeki seorang peniaga tembikai di Bandar Baru, di sini, melimpah ruah ketika musim panas ini apabila jualannya laris hingga mencecah 24 tan sehari.
Zuhairi Hashim, 34, berkata, sejak sebulan lalu, dia mula menjual buah tembikai boci (tembikai merah) gred B pada harga serendah 80 sen sekilogram (kg) manakala gred A pada harga RM1.20 sekilogram.
Katanya dia dapat menawarkan harga yang rendah kerana bekalan tembikai diambil secara pukal dari Kelantan dan Terengganu.
“Harga murah kerana buah diambil terus dari ladang, saya berurusan secara langsung dengan peladang atau orang panggil pajak daripada ladang. Saya sanggup jelajah dua negeri ini dan dapat berurusan dengan peladang di Dabong, Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, dan Setiu, Terengganu.
“Alhamdulillah, memang ramai orang datang membeli dan dalam musim panas ini saya dapat buat jualan antara 12 hingga 24 tan sehari,” katanya ditemui pemberita hari ini.
Zuhairi berkata, dia mula berniaga pada 8 pagi hingga 10 malam dengan dibantu isteri dan ahli keluarga yang lain. Menurutnya, kebanyakan pelanggan yang datang tidak melepaskan peluang harga murah yang ditawarkan dan biasanya mereka akan membeli secara borong untuk dijadikan sajian yang menyegarkan pada majlis rumah terbuka Aidilfitri. – Bernama