PARIS, 1 MEI – Jualan kereta Tesla di Perancis merosot sebanyak 59 peratus pada April, menambahkan lagi berita buruk buat syarikat kenderaan elektrik yang dikendalikan oleh Elon Musk, penasihat kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Badan automotif Perancis, PFA, yang membandingkan angka pendaftaran kenderaan bulan April dengan tempoh sama tahun lalu, turut menyatakan sejak awal 2025, terdapat hanya 7,556 pendaftaran Tesla di Perancis, iaitu penurunan sebanyak 44 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Penurunan dalam pasaran kereta ketiga terbesar di EU ini menyusuli data suku pertama daripada Persatuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA) yang menunjukkan jualan Tesla merosot 45 peratus di seluruh blok tersebut.
Penganalisis berpendapat peranan Musk yang semakin menonjol di sisi Trump menjadi faktor utama kemerosotan mendadak jualan Tesla di Eropah.
Musk terkenal kerana memansuhkan beberapa agensi dan program persekutuan AS, termasuk bantuan luar negara dan dua kali membuat isyarat tangan dalam satu perhimpunan pelantikan Trump yang menurut ahli sejarah bersifat kurang sopan.

Jutawan itu sebelum ini menyatakan beliau merancang untuk mengundurkan diri daripada peranannya sebagai ketua tidak rasmi ‘Jabatan Kecekapan Kerajaan’ pimpinan Trump, bagi memberi tumpuan kepada Tesla.
The Wall Street Journal kelmarin melaporkan lembaga pengarah Tesla telah memulakan proses beberapa minggu lalu untuk mencari pengganti Musk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Kemerosotan jualan Tesla di Perancis berlaku dalam keadaan jualan kenderaan elektrik di negara itu yang tidak berkembang pada April.
Secara keseluruhan, jualan kereta susut sebanyak 5.64 peratus, dengan jumlah pendaftaran mencecah 139,000 unit.
Ketua PFA, Nicolas Le Bigot berkata, “Kita berada pada tahap yang membimbangkan dalam pasaran, jauh lebih rendah berbanding sebelum pandemik COVID-19.”
Beliau menyifatkan penurunan itu berpunca daripada ‘ketidaktentuan ekonomi’ dalam kalangan pembeli Perancis. – AFP