Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jualan tiket Piala Dunia 2026 bermula 10 Sept

    WASHINGTON, 4 SEPT – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kelmarin umumkan bahawa pusingan pertama jualan tiket Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico akan dibuka pada 10 Sept, dengan tiket peringkat kumpulan bermula pada harga AS$60 dan tiket perlawanan akhir mencecah sehingga AS$6,730.

    Buat kali pertama, kejohanan itu akan menggunakan kaedah harga dinamik.

    “Saya rasa mesejnya ialah ‘dapatkan tiket awda lebih awal,’ terutamanya jika awda tahu di mana awda berada, kerana awda tinggal di bandar itu, atau awda peminat kepada tiga negara penganjur dan awda sudah tahu bila dan di mana mereka akan bermain.

    “Jadi mesejnya: ‘dapatkan tiket lebih awal,’ kerana apa sahaja boleh berlaku,” kata Ketua Pegawai Operasi Piala Dunia, Heimo Schirgi.

    Memandangkan jangkaan permintaan yang tinggi, tiket akan dikeluarkan secara berperingkat.

    Fasa pertama, iaitu ‘Visa Presale Draw’, memerlukan peminat mendaftar ID Peminat FIFA di laman rasmi. Hanya pemegang kad Visa berusia 18 tahun ke atas layak memohon.

    Tempoh pendaftaran akan berlangsung dari 10 hingga 19 September, dengan pemohon yang berjaya akan dimaklumkan melalui e-mel mulai 29 September serta diberikan slot masa pembelian bermula 1 Oktober.

    Walaupun tiket untuk semua 104 perlawanan ditawarkan, memperoleh slot masa tidak menjamin ketersediaan.

    FIFA berkata fasa kedua dan ketiga jualan juga akan menggunakan sistem loteri, dijadualkan pada 27 hingga 31 Oktober dan selepas Cabutan Akhir pada 5 Disember.

    Lebih hampir kepada tarikh kejohanan, peminat boleh membeli baki tiket yang ada mengikut prinsip siapa cepat dia dapat.

    Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung di 16 bandar di AS, Kanada dan Mexico dari Jun hingga Julai 2026, menandakan edisi pertama kejohanan yang menampilkan 48 pasukan. – Bernama

    Seorang pegawai keselamatan berdiri berhampiran trofi Piala Dunia FIFA dalam kotak pameran di Pusat Kebudayaan Itali di Vancouver, British Columbia pada, 26 Ogos. Tiket mula dijual pada 10 September. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda