LONDON, 30 APRIL – Syarikat farmaseutikal Britain AstraZeneca hari ini melaporkan jualan berjumlah AS$275 juta daripada vaksin COVID-19 dalam tiga bulan pertama tahun ini.
Ia merupakan kali pertama sebuah syarikat mendedahkan angka jualan daripada salah satu vaksin terkenal di dunia.
Vaksin AstraZeneca dibangunkan bersama Universiti Oxford dan telah menjadi kunci dalam kempen vaksinasi di Britain. Syarikat itu menjualnya pada harga kos.
Bagaimanapun, keyakinan awam dalam vaksin tersebut telah terjejas disebabkan kebimbangan ia dikaitkan dengan pembekuan darah, dan syarikat telah disaman oleh EU berhubung kegagalan menghantar dalam jumlah dos yang telah dijanjikan.
Syarikat membuat pendedahan dalam penyata pendapatan yang menunjukkan keuntungan bersih bertambah dua kali ganda dalam suku pertama kepada AS$1.56 bilion, berbanding dengan AS$780 juta setahun sebelumnya.
Pendapatan melonjak 15 peratus – atau 11 peratus pada kadar tukaran tetap – kepada AS$7.32 bilion dalam tempoh laporan.
Tidak termasuk sumbangan daripada vaksin COVID-19, pendapatan meningkat 11 peratus – atau 7 peratus pada kadar tetap – kepada AS$7.045 bilion.
AstraZeneca menambah semalam prestasi sukunya dirangsang oleh jualan kukuh ubat kanser baharu.
“Kami mencatat prestasi kukuh dalam suku pertama 2021 dan meneruskan perkembangan portfolio ubat baharu kami,” kata ketua eksekutif Pascal Soriot dalam kenyataan pendapatan. – AFP
