Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Usaha D’Barkadz untuk mempertahankan kejuaraan berakhir berikutan kekalahan 85-91 kepada pasukan pendatang baharu, Amaron, pada suku akhir Piala You-C1000 2024 di Gelanggang Persatuan Bola Keranjang Brunei di Batu Bersurat Isnin lalu.
Pertandingan bola keranjang Piala You-C1000 yang penuh dengan drama pada kali ini telah menyaksikan kelainan apabila Amaron berjaya menyingkirkan juara bertahan.
Kapten pasukan D’Barkadz, Jomarie Corpuz melakukan usaha yang gigih untuk mengheret pasukannya bagi meraih kemenangan tetapi usahanya untuk menjaringkan 32 mata peribadi menjadi sia-sia apabila tidak diterima oleh pengadil perlawanan.
Penyingkiran itu bermakna adanya pasukan baharu yang akan muncul dinobatkan sebagai juara pada tahun ini setelah menyaksikan Easyway dan TK Tea House turut tersingkir daripada pertandingan itu.
Terdahulu, TK Teahouse tersingkir daripada kejohanan dengan satu mata selepas Eric Palanca memberikan harapan kepada Wan Sing untuk menang 86-85.
Di samping itu, pada perlawanan yang berasingan memperlihatkan giliran Easyway untuk keluar dari kejohanan selepas tewas 78-64 kepada Propel Services & Trading, yang telah menebus kekalahan mereka pada separuh akhir tahun lalu.
Pemain bintang Amaron, Chris Chiew, mengetuai pasukannya dengan pungutan peribadi 20 mata manakala pemain veteran, Esmond Tan, mencatat 15 mata.
Amaron akan menyertai Yuni-ku, Propel Services & Trading dan Wan Sing dalam kelompok empat terakhir.
Semua pasukan yang layak ke separuh akhir akan bermain pada 12 Julai dengan penentuan gelaran ditetapkan pada hari berikutnya.
