BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Awang Muhd Luqman bin Haji Kamaludin daripada pasukan Santai Aja Bladers (SA) muncul juara dan memenangi hadiah berupa ketuhar 42L, slot percuma, sijil dan hamper pada Pertandingan Santai-santai Beyblade anjuran DBos Beys Beyblade Brunei Darussalam, baru-baru ini.
Dalam perlawanan tersebut, Awang Muhd Luqman telah berjaya menewaskan Awang Jurkarnain bin Haji Husin, yang juga salah seorang anggota pasukan SA dalam perlawanan akhir dengan kiraan mata 5-3.
Sementara itu, tempat kedua bagi perlawanan berkenaan disandang oleh Awang Jurkarnain dan seterusnya tempat ketiga pula disandang oleh Awang Haris bin Abdullah daripada pasukan Jaksuha Bladers (JB) serta tempat keempat dimenangi Awang Junaidi bin Muhd Yussof daripada pasukan JB.
Menurut kenyataan, acara tersebut diteruskan lagi dengan penyampaian sagu hati kepada Awang Sharizam Hanis bin Haji Sharbini daripada JB, Awang Azrul bin Mohd Tuah daripada Ghostbeys (GB), Awang Muhd Adam Rafiqin bin Rozaimi daripada SA dan Awang Mohd Erwan Shah bin Haji Tengah daripada pasukan JB.
Pertandingan tersebut disertai kira-kira 20 peserta daripada pasukan-pasukan di negara ini seperti SA, GB, Undarground Beys (UB) dan JB.
Walaupun permainan beyblade ini diadakan dalam negara yang telah memasuki Fasa Awal Endemik, ia juga diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, mengimbas kod QR pada BruHealth, melakukan penjarakan sosial dan membuat ujian ART sebelum memulakan pertandingan tersebut.
