Thursday, January 2, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juara catur dunia kembali lepas didenda berseluar jean

    NEW YORK, 30 DIS – Juara bertahan catur dunia, Magnus Carlsen mengesahkan penyertaannya semula dalam Kejohanan Catur Pantas Dunia selepas menarik diri akibat dikenakan denda kerana pilihan pakaiannya, lapor agensi berita Jerman dpa.

    Pemain berusia 34 tahun dari Norway itu sebelum ini menarik diri selepas dihukum oleh Persekutuan Catur Dunia (FIDE) kerana melanggar kod pakaian kejohanan apabila memakai seluar jeans pada Jumaat lalu.

    Namun, Carlsen memaklumkan kelmarin melalui aplikasi Take Take Take bahawa beliau akan kembali bertanding.

    “Untuk meringkaskan cerita, saya akan bermain sekurang-kurangnya satu hari lagi di sini di New York. Jika prestasi baik, mungkin sehari lagi selepas itu,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan di platform X bahawa beliau ‘pasti’ akan bermain dengan memakai seluar jeans pada Isnin.

    Dalam kenyataan di platform sama, FIDE menyambut baik keputusan Carlsen untuk mempertahankan gelarannya.

    “FIDE berharap dapat terus bekerjasama dengan Carlsen dan komuniti catur global untuk memperbaiki syarat serta suasana kejohanan, demi memastikan pengalaman terbaik untuk pemain dan peminat,” kata badan itu.

    Insiden berlaku pada Jumaat apabila FIDE mengenakan denda sebanyak AS$200 terhadap Carlsen dan mengarahkan beliau menukar pakaiannya segera.

    Keengganan Carlsen untuk mematuhi arahan itu menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk pusingan kesembilan dan beliau memutuskan menarik diri daripada kejohanan itu sebelum mengubah keputusan kelmarin. – Bernama 

    Aksi Magnus Carlsen semasa menentang pemain Poland Jan-Krzysztof Duda semasa Liga Catur Global pada Julai 2023, di Dubai. Beliau kembali sertai pertandingan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda