Juara Juventus kecundang di Cagliari

MILAN, 30 JULAI – Juventus mengalami kekalahan memalukan 2-0 menentang Cagliari pada perlawanan semalam, selepas beberapa hari merangkul gelaran Serie A yang kesembilan berturut-turut mereka, mendorong jurulatihnya, Maurizio Sarri mempertimbangkan untuk menurunkan pasukan bawah 23 tahun pada perlawanan final Sabtu ini untuk merehatkan pemain utamanya sebelum cabaran Liga Juara-Juara mereka.

Penyerang Cagliari yang berusia 20 tahun, Luca Gagliano menjaringkan gol pembukaan lapan minit selepas perlawanan bermula sebagai jaringan pertamanya menewaskan pasukan teratas.

Pemain muda Itali itu kemudian melakukan assist untuk jaringan Giovanni Simeone pada minit-minit akhir separuh masa pertama dan sekali gus memberikan Cagliari kemenangan pertama menentang Juventus dalam 11 tahun.

“Sebanyak 40 gol bolos musim ini mungkin menjadi perhatian, tetapi perlawanan malam ini tidak,” kata Sarri.

“Kami berdepan sembilan pemain yang cedera dari perlawanan kejuaraan yang kami menang 68 jam yang lalu, jadi ini adalah permainan tipikal yang harus diambil perhatian.

“Kami satu-satunya di Eropah yang telah bermain lima perlawanan dalam 12 hari, liga telah menimbulkan masalah besar bagi kami.

“Mari kita lihat bagaimana keadaan kita esok dan jika sesuai untuk membariskan pasukan bawah-23 pada Sabtu ini menentang Roma bagi memastikan pemain utama pulih.”

Cristiano Ronaldo melepaskan peluang untuk terus bersaing penjaring terbanyak Serie A Ciro Immobile, pemain Portugal kini empat gol berada di belakang penyerang Lazio tersebut dengan 35 gol hanya berbaki satu perlawanan.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu menemukan gol namun dibatalkan kerana ofsaid pada minit ke-16 minit dan percubaannya diselamatkan dua kali oleh penjaga gol Cagliari, Alessio Cragno ketika pasukan Sardinia yang berada di tangga ke-13 mengakhiri lapan perlawanan mereka tanpa kemenangan. – AFP

Aksi penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo ketika mengawal bola semasa perlawanan Serie A antara Cagliari dan Juventus di Stadium Sardegna Arena, Cagliari, Itali, semalam. – AP