Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juara karate Gaza tempa nama di Mesir

    KAHERAH – Tanggal 6 Oktober 2023, juara karate Palestin, Mais Elbostami berbaring di atas katilnya dengan perasaan teruja setelah memenangi satu pertandingan di Semenanjung Gaza. Setelah dia bangun pada keesokan harinya dunia telah berubah.

    “Saya menang tempat pertama,” beritahu gadis pemalu berusia 18 tahun itu kepada AFP dari kawasan pinggir bandar Kaherah, di mana keluarganya kini menetap setelah melarikan diri daripada peperangan dan di mana dia menjalani latihan dengan harapan agar satu hari nanti dia dapat mewakili negaranya di persada antarabangsa.

    Dia berkata bahawa dia ‘masih pun belum menggantung pingat’ yang dimenanginya pada 6 Oktober sebelum Hamas melancarkan serangan ke atas Israel yang telah membunuh 1,195 orang, menurut perhitungan AFP berdasarkan perangkaan Israel.

    Dengan serta-merta, dia dan keluarganya melarikan diri ke selatan dari rumah mereka di utara Semenanjung Gaza apabila Israel melancarkan serangan balas yang bertubi-tubi.

    Dalam tempoh sembilan bulan lalu, peperangan telah memusnahkan wilayah Palestin yang terkepung itu dan mengorbankan lebih daripada 38,000 nyawa, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

    Mais berlatih di taman berhampiran rumahnya di timur ibu negara Mesir, Kaherah pada 25 Jun. – AFP
    Gambar AFP

    Di tengah-tengah huru-hara pengeboman dan perpindahan beramai-ramai, ‘setiap jam yang berlalu terasa seperti setahun’, kata Mais.

    Kematian berlaku di sekelilingnya.

    “Dalam 10 hari pertama sahaja, saya kehilangan jurulatih saya, Jamal Al-Khairy, dan cucu perempuannya yang pernah berlatih bersama saya,” katanya.

    Apabila keluarganya tiba di ibu negara Mesir pada April, Mais mempunyai dua perkara dalam fikirannya, iaitu memastikan sanak-saudaranya di kampung halaman selamat dan kembali menjalani latihan karatenya.

    Meskipun terperangkap di Gaza, ketua jurulatih Palestin, Hassan Al-Raiy menghubungkannya dengan pasukan Mesir, dan dalam masa dua minggu dia kembali di atas gelanggang.

    “Jurulatih-jurulatih saya di Mesir mengambil saya sebagai sebahagian daripada keluarga mereka, dan kami bekerja bersama-sama agar saya boleh menjadi cukup baik untuk bertanding dalam pertandingan seterusnya,” katanya.

    Setiap kali ada masa, dia akan melakukan latihan perlawanan di atas gelanggang. Walau bagaimanapun, disebabkan sumber dan masa latihan gim yang terhad, Mais juga harus melakukan latihannya di jalanan dan taman berdekatan rumahnya. Fikirannya sering melayang ke pesisir pantai Mediterranean di Gaza.

    “Latihan di kampung halaman adalah berlainan. Setiap Jumaat, saya dan rakan sepasukan akan berlatih di pinggir laut,” katanya.

    Karate terkenal kerana fokus yang kuat terhadap disiplin dan kawalan diri, dan ini telah membantu pelatih karate muda berkenaan untuk ‘memisahkan diri dari realiti’ – hidup sebagai pelarian daripada peperangan yang kejam – meski untuk seketika.

    “Kadang-kadang emosi saya akan menguasai diri. Ada kalanya, saya tidak dapat menjalankan sesi penuh tanpa teringat mengenai masa melarikan diri ketika serangan udara menyelubungi kami,” katanya.

    Mais berusaha fokus pada matlamatnya – ‘untuk mewakili negara saya dan mengibarkan benderanya dalam pertandingan antarabangsa’.

    Masih jauh lagi perjalanan yang harus ditempuhnya, dan tumpuan pertamanya adalah pertandingan kebangsaan di Mesir pada Ogos.

    “Ia adalah cabaran yang sukar,” katanya, kerana atlet-atlet karate Mesir berdasarkan sejarahnya adalah lebih hebat daripada atlet-atlet Palestin.

    “Tetapi ini akan meningkatkan tahap saya juga.”

    Jurulatih Mais dari Mesir, Mamdouh Salem, memberitahu AFP bahawa remaja itu adalah seorang ‘atlet yang mempunyai banyak potensi, dedikasi dan kesungguhan’.

    “Kami sedang memperbaiki tekniknya, namun karate adalah sukan yang lebih menjurus kepada kemahiran berbanding bakat – saya menjangkakan Mais akan cemerlang.”

    Dia berkata bahawa dia mahu membantunya mengibarkan bendera Palestin di seluruh dunia.

    “Jika kami tidak dapat berjuang dengan mereka di Gaza, sekurang-kurangnya kami boleh membantu mereka mewakili negara mereka di luar negara,” katanya, mengulang solidariti awam Mesir dengan perjuangan Palestin.

    Rakan sepasukan, jurulatih dan ramai sanak-saudaranya masih terperangkap di Gaza – dan katanya ramai daripada mereka telah terkorban – meskipun Mais terselamat.

    “Oleh itu, saya tidak mempunyai sebarang alasan menghalang diri saya daripada mencapai matlamat saya,” katanya.

    “Saya akan melakukan apa sahaja untuk menekankan perjuangan penduduk Palestin. Setiap pertandingan dan setiap masa saya mewakili Palestin, ia adalah untuk negara saya, dan untuk mereka yang telah syahid dan mereka yang tercedera.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda