Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juara kejohanan bola sepak, bola jaring sekolah diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Kementerian Pendidikan kelmarin telah mengadakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring bagi Liga Super dan Piala Perdana Sekolah-sekolah Negara Brunei Darussalam Tahun 2024 yang dikendalikan oleh Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

    Majlis tersebut berlangsung di Dewan Serba guna, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

    Kejohanan Bola Sepak Liga Super Sekolah-sekolah Negara Brunei Darussalam 2024 anjuran Kementerian Pendidikan itu telah diadakan pada bulan Februari hingga Jun lalu dan Kejohanan Bola Sepak Piala Perdana Sekolah-sekolah Negara Brunei Darussalam telah diadakan pada bulan Jun hingga Julai.

    Manakala Kejohanan Bola Jaring Liga Super Sekolah-sekolah Negara Brunei Darussalam telah diadakan pada bulan Februari hingga Mei dan Kejohanan Bola Jaring Piala Perdana Sekolah-sekolah Brunei Darussalam telah diadakan pada bulan Mei dan berakhir kelmarin.

    Sekolah Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan muncul juara Kejohanan Bola Sepak Liga Super diikuti dengan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Saa’adatul Bolkiah di tempat kedua dan Sekolah Menengah Berakas di tempat ketiga. Manakala Awang Mohd Ali Arsyad bin Mohd Alihan dari Sekolah Menengah Muda Hashim dinobatkan sebagai penjaring terbanyak semasa kejohanan tersebut.

    Manakala Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB) telah menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Perdana diikuti dengan Sekolah Menengah Awang Semaun di tempat kedua dengan pemain terbaik dalam perlawanan akhir disandang oleh Awang Muhd Nashree bin Tajuddin dari SASHHB.

    Sementara itu, Sekolah Sukan telah menjuarai Kejohanan Bola Jaring Liga Super, diikuti dengan Sekolah Menengah Rimba di tempat kedua dan Sekolah Menengah Menglait di tempat ketiga. Manakala Dayangku Husnina binti Pengiran Samsul dari Sekolah Sukan dinobatkan sebagai penjaring terbaik semasa kejohanan tersebut.

    Bagi Kejohanan Bola Jaring Piala Perdana pula dimenangi oleh Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), diikuti dengan Sekolah Menengah Tanjung Maya di tempat kedua. Manakala penjaring terbaik kejohanan ialah Dayang Esme Striling dari JIS. Pemain penyerang terbaik pula disandang oleh Dayang Ellie Jackson dari JIS dan Dayang Melanie Poulain dari JIS dinobatkan sebagai pertahanan terbaik.

    Antara objektif kejohanan-kejohanan tersebut diadakan adalah untuk mencungkil bakat dan potensi pelajar dalam bidang sukan bola sepak dan bola jaring. Selain itu, melalui aktiviti-aktiviti sukan tersebut diharap akan dapat meningkatkan dan mengukuhkan rangkaian kerjasama di antara institusi-institusi pendidikan dengan agensi-agensi berkaitan di Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu usaha untuk menerapkan pendidikan melalui sukan bola sepak dan bola jaring.

    Yang Mulia Awang Aliuddin bersama sebahagian yang hadir pada majlis berkenaan.
    Atas & Bawah: Antara yang menjuarai kejohanan bola sepak yang dipertandingkan.
    Sekolah Sukan yang menjuarai kejohanan bola baling. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN MOE

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda