Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juara NBA dipanah Thunder

    LOS ANGELES, 10 Feb – Kerja keras Russell Westbrook telah menghasilkan ‘triple-double’ ke-26 musim ini awal pagi tadi untuk menerajui Oklahoma City Thunder bagi mencatatkan kemenangan 118-109 ke atas juara NBA, Cleveland Cavaliers.

    Westbrook mencatatkan 29 mata dengan 11 asis dan 12 ‘rebound’. Victor Oladipo menambah 23 mata dan tujuh ‘rebound’ dan pemain tengah Steven Adam dari New Zealand menambah 21 mata dan 13 ‘rebound’ bagi Oklahoma City, yang memperbaiki kedudukan kepada 31-23.

    Kyrie Irving mendahului Cavs dengan 28 mata. LeBron James menghasilkan 18 dengan tujuh asis tetapi gagal menjaringkan sebarang mata pada suku keempat.

    Irving mengikat kedudukan kepada 99-99 dengan perlawanan berbaki kurang dari enam minit, tetapi dua jaringan Westbrook meletakkan Oklahoma City mendahului 103-99 dengan perlawanan berbaki 4:59.

    Irving membalas dengan jaringan, tetapi selepas jaringan lompatan Westbrook, pemain simpanan Thunder, Jerami Grant berjaya menghalang jaringan di sebalah hujung gelanggang.

    Russell Westbrook (0) membuat lompatan di antara dua pemain Cleveland Cavaliers, Kyrie irving (kiri) dan LeBron James dalam aksi suku ketiga NBA antara Oklahoma City Thunder dan Cleveland Cavaliers. – AP
    Russell Westbrook (0) membuat lompatan di antara dua pemain Cleveland Cavaliers, Kyrie irving (kiri) dan LeBron James dalam aksi suku ketiga NBA antara Oklahoma City Thunder dan Cleveland Cavaliers. – AP

    Westbrook menghasilkan satu lagi lompatan untuk mengukuhkan pendahuluan bagi Oklahoma City kepada 107-101 dengan perlawanan berbaki 3:42.

    James terlepas lompatan sebelum Westbrook memberikan bola kepada Adam bagi jaringan mudah. Selepas satu lagi halangan, Westbrook sekali lagi mendapatkan bola, menghantar kepada Oladipo bagi jaringan yang memberikan Westbrook asis ke-10 dan mencapai ‘triple-double’.

    Westbrook menyamai purata ketiga tertinggi bagi ‘triple-double’ dalam semusim. Oscar Robertson menghimpunkan 26 pada 1960-61 dan 1963-64.

    Hanya Robertson, dengan 42 pada tahun 1961-62, dan Wilt Chamberlain, dengan 31 pada 1967-68, menghasilkan lebih banyak dalam satu kempen.

    Pasukan Cavs mengalami kekalahan kedua mereka dalam lapan perlawanan terakhir.

    Selepas jurulatih, Tyronn Lue berkata James, Irving dan Kevin Love mungkin direhatkan, ketiga-tiga pemain bintang diturunkan, dengan Lue berkata mereka telah memberitahunya bahawa mereka dalam ‘keadaan bagus’.

    Selepas mengetepikan juara bertahan dan pendahulu Eastern Conference, pasukan Thunder seterusnya akan menjadi hos kepada pendahulu Western Conference, Golden State Warriors. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda