BRISBANE, 16 OKT – Juara Olimpik yang mesra digelar ‘Arnie’ telah memilih untuk menamatkan kerjaya renang elitnya serta-merta, satu pengakhiran yang benar-benar mengejutkan para peminatnya.
Ariarne Titmus, pemenang empat pingat emas Olimpik, sebelum ini dijangka akan kembali ke arena renang kompetitif selepas berehat seketika pasca Sukan Olimpik Paris dan bersedia untuk berlatih bagi temasya Los Angeles 2028.
Sebaliknya, beliau memuat naik video di Instagram hari ini mengumumkan persaraannya pada usia 25 tahun.
“Saya sentiasa menyukai sukan renang, ia adalah minat saya sejak kecil, tetapi saya rasa selepas mengambil masa menjauhkan diri daripada sukan ini, saya menyedari bahawa ada perkara dalam hidup saya yang selama ini penting dan kini menjadi lebih penting daripada renang,” kata Titmus. “Dan itu tidak mengapa.”
Di Sukan Olimpik Paris tahun lalu, Titmus berjaya mempertahankan gelaran 400 meter gaya bebasnya dalam perlumbaan yang sangat dinantikan menentang bintang Amerika Syarikat, Katie Ledecky dan wakil Kanada, Summer McIntosh.
Ketiga-tiganya pernah memegang rekod dunia dalam acara itu pada suatu ketika.
Pada tahun 2023, Titmus menjalani pembedahan membuang dua tumor ovari jinak, namun kembali ke tahap tertinggi dalam masa singkat bagi persediaan ke kejohanan seterusnya.
Namun, kini Titmus bersara sebagai pemegang rekod dunia dalam acara 200 meter gaya bebas dengan 33 pingat antarabangsa, termasuk empat emas, tiga perak dan satu gangsa Olimpik serta empat gelaran dunia.
Renang merupakan penyumbang utama pingat emas Australia di Sukan Olimpik dan menjadi sebahagian besar budaya hidup rakyat negara itu, di mana kebanyakan kanak-kanak perlu berenang sekurang-kurangnya sekali setahun dalam pertandingan atau karnival sekolah.
Oleh itu, persaraan mengejut Titmus menjadi berita utama seluruh negara.
Dalam nota perpisahan bertajuk ‘Terima kasih, Arnie!’, Renang Australia berkata akan wujud ‘kekosongan besar untuk pasukan Dolphins diisi’ memandangkan kebiasaannya Titmus membuka acara utama dengan perlumbaan 400 meter gaya bebas pada malam pertama.
Persekutuan itu turut menyatakan,Titmus telah mendominasi acara tersebut selama tujuh tahun dan mengambil tanggungjawabnya sebagai penetap agenda pertandingan dengan penuh komitmen. – AP


