Sunday, January 5, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juara Olimpik tertua meninggal dunia pada usia 103

    BUDAPEST, 2 JAN – Agnes Keleti, juara Olimpik tertua di dunia dan mangsa terselamat Holocaust, meninggal dunia pada usia 103 tahun.

    Dia meninggal dunia hari ini di hospital Budapest, kata pegawai akhbarnya, Tamas Roth kepada AFP, mengesahkan laporan daripada harian sukan tempatan Nemzeti Sport.

    Dia dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru minggu lalu.

     “Kami berdoa agar dia mempunyai semangat yang kuat,” beritahu anak lelakinya, Rafael Biro-Keleti, kepada akhbar tempatan pada masa itu, di mana mereka berhasrat meraikan ulang tahunnya yang ke-104 pada 9 Januari bersama-sama sebagai sebuah keluarga.

    Kisah hidup Keleti, termasuk terselamat daripada Holocaust dan kegemilangan Olimpik, amat menarik perhatian ramai orang dengan semangatnya yang tidak pernah luntur dalam menghadapi kesukaran.

    Gambar fail bertarikh 6 November 2020 menunjukkan Keleti bersama pingat emas yang dimenangi semasa Sukan Olimpik di Helsinki 1952 dan di Melbourne 1956 di Budapest. – AFP

    Sebagai gimnas Hungary yang paling berjaya, dia memenangi 10 pingat Olimpik, kesemuanya selepas mencapai usia 30 tahun menentang pesaing yang jauh lebih muda, termasuk lima pingat emas di Helsinki (1952) dan Melbourne (1956).

    Motivasinya untuk menceburi sukan bukan untuk mengejar kejayaan, tetapi untuk mengembara ke luar negara, di luar Tabir Besi dari Hungary yang diperintah komunis.

    “Saya bertanding bukan kerana saya menyukainya tetapi saya melakukannya kerana saya mahu melihat dunia,” beritahunya kepada AFP pada 2016.

    Dilahir pada 9 Januari 1921 di Budapest sebagai Agnes Klein, dia kemudian menukar nama keluarganya kepada Keleti yang lebih kedengaran seperti nama bahasa Hungary. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda