Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Awang Muhammad Lutfi Al-Hakim bin Muhammad Nur Nizamuddin dan Dayang Lina Kirana binti Haji Alamsha, kedua-duanya dari Sekolah Nusa Laila Puteri (SNLP), muncul juara bagi kategori masing-masing dalam
Pertandingan Akhir Hafazan Surah-surah Pilihan Sekolah-Sekolah Rendah Senegara Tahun 2023 yang berlangsung di Dewan Sekolah Al-Falaah, hari ini.
Bagi kategori lelaki, naib juara dimenangi oleh Syed Yahya bin Syed Mu’aaz dari Sekolah Al-Falaah, Sungai Akar dan Awang Ahmad Harith Irfan bin Haji Umardani juga dari sekolah sama berada di tempat ketiga.
Manakala itu, naib juara bagi ka-tegori perempuan disandang oleh Dayang Thara’ Wafirah binti Haji Mohammad Sharnizan dari Sekolah Al-Falaah, Ban 5 dan tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Maryam Az-Zahra binti Mahfudz Sazali dari Sekolah Al-Falaah, Sungai Akar.
Hadir selaku tetamu Kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kegiatan Kerohanian, Jabatan Pendidikan Kokurikulum itu ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Julaihi bin Mohamad@Mohamat.
Pertandingan berkenaan disertai oleh 38 peserta bagi kategori lelaki dan 32 peserta bagi kategori perempuan dengan lapan orang yang memperoleh markah tertinggi daripada setiap kategori berjaya mara ke peringkat akhir.
Ia dibukakan kepada pelajar sekolah rendah kerajaan dan swasta senegara dan pihak sekolah dibenarkan untuk menghantar dua orang peserta bagi setiap kategori.
