Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Debaran perebutan untuk menentukan sang juara bagi kejohanan Bola Sepak Jemputan Bawah 18 (B18) kian terasa buat pasukan Miri FA dan Limbang FA yang akan bersaing menentang lawan masing-masing sebelum menjulang Piala Lela Cheteria buat julung kalinya pada Ahad ini.
Pasukan Limbang FA akan berdepan pasukan Gergasi FC pada perlawanan sebelah pagi dan pasukan Miri FA akan bertemu pasukan Kasuka FC pada perlawanan penutup liga, di mana kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Padang dan Belapan, Berakas.
Ketua jurulatih Miri FA, Ismail Lumut ketika di temui menjelaskan, “Kami tidak mahu tertekan untuk memburu kejuaraan sekalipun atas kertas memiliki kelebihan pada kedudukan semasa berada di puncak liga. Namun, saya mahu pemain-pemain perlu fokus dan mengikut perancangan sepanjang persiapan perlawanan akhir ini menentang pasukan Kasuka FC.”
Beliau mengakui pasukan Kasuka FC juga mempunyai misi tinggi iaitu untuk menggenggam kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar untuk memastikan mereka berjaya berada di tangga ketiga
Sementara itu, ketua jurulatih Limbang FA, Bulhaji Wahab mengakui debaran semakin tinggi menjelang pertemuan dengan pasukan Gergasi FC yang sama-sama mengintai kemenangan.
“Kami mesti memperolehi kemenangan mutlak ke atas pasukan Gergasi FC sambil mengharapkan pasukan Miri FA kecundang atau berkongsi mata pada perlawanan akhir. Kami hanya dipisahkan satu mata dengan pasukan Miri,” jelasnya.
Beliau yakin pertemuan dengan pasukan Gergasi FC juga menjadi perhatian utama penyokong bola sepak kerana kedua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri dan menyimpan misi yang sangat tinggi.
“Kejohanan ini sangat menarik, penentuan juara, naib juara dan ketiga sehingga ditentukan pada kemuncak perlawanan. Saya rasa sasaran kejohanan ini sangat berjaya dan berharap ianya akan dapat diteruskan pada tahun akan datang, ”ujarnya.
Pentas perebutan untuk kedudukan ketiga menjadi taruhan kepada pasukan PKT FT, Gergasi FC dan Kasuka FC pada medan perlawanan terakhir mereka.
Secara matematiknya, pasukan PKT FT mempunyai kelebihan yang lebih bersinar dan pasti tidak melepaskan peluang untuk melawan berhabis-habisan pasukan Shada FT untuk lebih awal menduduki tempat ketiga Sabtu ini.





