Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jubin hiasan bersejarah Portugis diancam pencurian

    LISBON – Melihat lubang-lubang pada dinding istana lama yang terbiar di tengah-tengah Lisbon, di mana hiasan jubin seramik telah ditanggalkan, dicuri atau tertanggal, mengakibatkan suatu pemandangan yang tidak menyenangkan buat para pelancong yang menyaksikannya.

    Pencuri akan mengambil jubin-jubin yang cantik dengan paparan ukiran yang rumit, yang memenuhi dinding-dinding bangunan yang ada di seluruh Portugal, dan kemudian akan dijual ke pasaran gelap. Salah satu jubin yang terkenal dikenali sebagai ‘azulejos’, boleh mencecah sehingga ribuan euro.

    Dan bangunan-bangunan terbiar seperti Istana Pombal abad ke-17, adalah sangat terdedah. Ia pernah menjadi rumah kediaman kepada keluarga Marquis de Pombal, negarawan yang membina semula Lisbon selepas gempa bumi besar yang menghancurkan ibu negara itu pada tahun 1755.

    Dimiliki oleh dewan bandar raya Lisbon selama lima dekad yang lalu, ia telah mengalami kerosakkan akibat kurangnya penyelenggaraan. Dan sejak persatuan kebudayaan, Carpe Diem, berpindah pada akhir bulan Julai lalu, istana itu telah menjadi kosong.

    ‘SOS Azulejo’, sebuah projek yang ditubuhkan oleh anggota polis pada tahun 2007 adalah bertujuan untuk mengekang peniaga-peniaga barangan antik daripada menjual jubin-jubin Portugis yang dicuri. Ia juga dimasukkan dalam senarai bangunan ‘berisiko tinggi’.

    Dua orang pelancong berdiri berdekatan dengan dinding bangunan yang dihiasi dengan jubin-jubin Portugis di Lisbon. – AFP
    Beberapa jubin yang dijual di pasar ‘Feira da Ladra’. – AFP

    Kecurian jubin telah menjunam sebanyak 80 peratus sejak projek itu dilaksanakan, kata Leonor Sa, ketua muzium polis Portugal yang menunjukkan jubin-jubin yang pernah dicuri. Tetapi sejumlah besar kecurian tidak dilaporkan, katanya.

    “Warga Portugis tidak mengemukakan aduan mengenai masalah itu kerana bagi mereka ia adalah suatu perkara yang biasa dilihat di dunia ini. Mereka hidup dikelilingi oleh jubin sejak dari mereka lahir lagi sehinggalah mereka meninggal dunia,” kata Sa.

    “Pelancong asing yang melihat seramik ini sangat menyukainya kerana mereka tidak mempunyai jubin-jubin sepertinya di rumah atau negara mereka.”

    Sa, yang mempunyai ijazah kedoktoran dalam bidang kajian budaya, melahirkan dua orang anak perempuannya, Rita dan Joana, di hospital Lisbon yang dihiasi azulejos, di mana dia juga dilahirkan di sana 59 tahun yang lalu.

    Azulejos pertama kali datang ke Portugal pada awal abad pertengahan ketika Portugal berada di bawah pemerintahan Moorish. Walaupun banyak yang menganggap bahawa perkataan itu berasal dari azul – bahasa Portugal yang bermaksud ‘biru’, warna bagi kebanyakan jubin – dan juga perkataan dari bahasa Arab iaitu ‘az-zulayj’, yang bermaksud sebagai ‘batu yang digilap’.

    Merasa teraniaya dengan kehilangan harta karun Portugis ini. Sa telah membina laman web, www.sosazulejo.com, yang memaparkan gambar-gambar jubin yang dicuri sama ada dari gereja, hospital, stesen kereta api dan bangunan-bangunan lainnya. Ia memudahkan untuk mengesan sama ada jubin yang dijual di jalanan atau dari peniaga barangan antik itu dicuri.

    “Ia sangat menyedihkan,” kata Sa.

    Leonor Sa, seorang kurator di muzium polis kehakiman dan ketua projek SOS Azulejo semasa bergambar di ibu pejabatnya di Lisbon. – AFP
    Keadaan dinding yang dipenuhi dengan jubin tipikal Portugis dan ada yang sudah hilang, yang berada di Lisbon. – AFP

    Kecurian jubin boleh men-cecah kepada 10,000 biji setiap tahun pada tahun 2001, 2002 dan 2006 tetapi “kini ianya berkurangan”, katanya.

    Sejak tahun 2013 ianya satu kesalahan di Lisbon apabila seseorang itu menghancurkan dinding-dinding yang dihiasi dengan jubin tanpa kebenaran pegawai bandar raya. Ahli parlimen merancang untuk memperluaskan undang-undang tersebut ke seluruh negara itu tidak lama lagi.

    Di pasar utama Feira da Ladra, atau dikenali ‘Pasar Pencuri’, jubin azulejos lama telah dijual antara lima euro dan 100 euro (AS$118). Terdapat satu panel gergasi abad ke-18 yang terdiri daripada jubin berwarna coklat, keemasan dan hijau yang telah memaparkan haiwan-haiwan dan bunga-bunga eksotik dijual pada harga 500 euro.

    Harga bagi setiap peniaga-peniaga barangan antik adalah berbeza-beza dan boleh mencapai lebih tinggi lagi, dengan beberapa jubin azulejos ada yang berharga 10,000 euro. Anne Typhagne, seorang pemandu pelancong Perancis berusia 43 tahun, menunjukkan jubin-jubin yang terdapat di pasar utama itu yang menghadap ke Sungai Tagus.

    “Sebelum saya membeli banyak daripada jubin-jubin ini, saya cuba memeriksanya dengan teliti kerana saya menentang pencurian warisan Portugal,” katanya.

    Pemeriksaan polis pada penjual-penjual jubin di pasar adalah kerap.

    “Apabila mereka datang, saya menunjukkan semua kertas pengesahannya. Saya menjual, saya tidak mencuri,” kata Maria Santos, 28, penjual seramik dari abad ke-18 dan ke-19.

    Walaupun beberapa jubin itu berjaya dipulihkan dari runtuhan bangunan, Santos berkata “selalunya, kita tidak tahu dari mana asalnya.”

    Beberapa jubin yang dijual di pasar ‘Feira da Ladra’ di Lisbon. – AFP
    Seorang ahli seramik Cristina Pina melukis lukisan seni pada jubin di studio dan juga kedainya di kawasan kejiranan Alfama di Lisbon. – AFP
    Sebahagian pelancong melintasi sebuah kedai antik di pasar ‘Feira da Lafra’ di Lisbon. – AFP

    Oscar Pinto, ketua bahagian polis negara itu, sangat berdedikasi untuk menangani masalah jenayah yang melibatkan kesenian, dan berkata majoriti daripada jubin yang dijual mempunyai kertas kerja yang sah dan asli.

    “Kadang-kadang pemilik tanah itu sendiri akan mencabutnya untuk mengubahsuai rumah kediaman mereka,” katanya di pejabatnya.

    “Tetapi jangan pula kita leka. Seorang penagih dadah yang menjual kepada anda 20 azulejos pada hanya satu euro sekeping di dalam beg plastik, ia berkemungkinan besar bahawa ianya adalah barang curi.”

    Pinto telah pergi ke pasar utama itu sehari sebelum membuat percubaan, untuk mengambil semula seribu keping jubin seramik abad ke-18 yang terdapat dari sebuah banguan yang terbengkalai di daerah Baixa di tepi sungai Lisbon.

    Ledakan pelancongan di ibu negara Portugis itu “boleh menyumbang kepada peningkatan kecurian,” katanya. Pembuat seramik, Cristina Pina, 55, berpendapat bahawa dia telah menemukan penyelesaian dalam mengekang para pelancong daripada membeli jubin-jubin lama – dia telah membina sebuah kedai kecil berhampiran pasar yang menjual semua azulejos yang dihasilkan pada abad ke-18.

    “Saya lebih suka jika para pelancong membeli azulejos indah yang dihasilkan semula sebagai satu cenderahati dari Lisbon, yang akan membolehkan jubin asli sentiasa kekal di negara ini,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda